Monday, July 8, 2013

Yang dilontar dan melontar

Ianya takkan bermula dengan sesuatu yang tak dibina, ianya takkan bermula dengan sesuatu yang tidak disedia.Memisahkan jiwa dan badan dalam menanggapi kekuatan fizikal bukanlah sesuatu yang bersifat murni, bahkan itu lebih pura.Menanggapi keperluan, datang dari persediaan.Sebuah bangunan gah, takkan terbina tanpa tajamnya melakar di kertas.Menanggapi proses yang dirunding, bukanlah suatu perkara yang sia-sia.Tanpanya, bata hanya tinggal bata.Takkan tumbuh darinya menjadi sebuah pencakar yang gagah.Memperkuda binaannya juga, bukan suatu yang lumrah.Rasanya cukup untuk resah.Ketangkasan gerak pedang sang panglima penakluk benua takkan diwarisi kepada anaknya tanpa ada yang menyedia.Peri pentingnya untuk memahami ini, gejolak dan dinamika luar, bukan sekadar mainan asahan tajamnya pedang di sisi.Bunga tetap bunga, ia hanya cantik untuk persembahan.Pencaknya itu sebenarnya untuk gelanggang.Yang pasti, ianya sentiasa memerlukan persediaan dan dipersediakan.

Rasanya Ramadhan ini, harus aku kurangkan segala lontaran.Ianya lebih meresahkan.Tak selalu menenangkan.Semoga Allah mengampuni

Monday, May 20, 2013

Jiwa Kosong - Merenung Masa Lalu


Malam ni nampaknya jiwa kosong.Sebenarnya, aku merasa sesuatu yang telah lama hilang dan jauh.Yang membuka dimensi baru hidup aku.Yang membina jiwa aku.Yang mengisi ruhi aku.Yang mendidik jiwa dan melenturkan nafs haywaniyyah diri dengan pengisian ta'dib.Yang mengisi diri aku dengan semangat perjuangan.Melatih diri di medan kesukarelawanan, lapangan aktivisme dan pembinaan akhlak.Sesuatu yang sentiasa membajai diri aku supaya terus segar meniti hari mendatang dengan semangat jihad.

Yang membentuk diri aku untuk hidup membuat bakti.Yang mengajar aku tentang erti kekeluargaan.Yang mengajar aku untuk berfikir dan prihatin tentang umat.Yang mengajar aku tentang semangat syura.Yang memberi kemanisan tentang hidup berjemaah.Yang mengenalkan tentang ukhwah.Yang mewarnai aku dengan tema diri 'Hidup Biar Berjasa'.Ketahuilah, aku tidak pernah putus.Dulunya aku tiada jiwa pada ini, tapi proses pendidikan diberi mereka kepada aku menghidupkan kecintaan jiwa ini pada wadah ini.Hatta, akan kupertahankan hingga ke akhir hayat.Walau berbagai ujian dan dugaan, pertelingkahan dan perbezaan, ia tetap tidak akan menghilangkan rasa cinta aku pada yang ini.Ia yang terbaik pada aku.Semoga, aku mampu terus menyumbang bakti dan diri pada wadah ini.

Cinta ini tidak padam, kerana aku melihat, di depan mata sendiri, dan menekuni pengembaraan aqli diri kepada sejarahnya hingga kini, wadah ini, tidak pernah berhenti berbakti.Wadah ini banyak melakukan jasa pada umat.Wadah ini sentiasa membajai umat.Wadah ini yang tidak jemu-jemu mendidik umat.Wadah ini, tanpa tumpuan dan perhatian, tidak pernah kurang agenda pada umat.Semangat ini, jiwa perjuangan ini, yang memendam ke lubuk hati terdalam diri aku, tentang makna cinta pada gerakan ini.Ia keluarga besarku.Aku bersyukur pernah terpilih merasai segala proses bakti mereka.Aku tidak mahu, wadah ini mati.Aku tidak mahu wadah ini dihenti.Kerana, masih ramai yang menanti.Jasa dan bakti dari perwira dan pertiwi gerakan ini.Mereka mujahidin sejati.Mereka hebat.Merekalah penggerak umat.Aku pertahankan ini walau di manapun aku berada.Cinta ini tak pernah mati.Terima kasih ajar aku semua ini.


                                      Mereka, PKPIM-ABIM-WADAH :-)

Dan sebenarnya aku rindu pada ini.Pada gerakan ini.Pengalaman di dalamnya cukup manis.Roh perjuangan aku dihidupkan disini.Aku menukilkan ini, supaya jiwa aku sentiasa mengingati dan diberi izin oleh Allah untuk terus berbakti di lapangan ini sehingga mati.Semoga cinta ini mendapat redha Ilahi




Keluarga Besar PKPIM-ABIM-WADAH


Keluargaku di PKPIM suatu ketika dulu
       Senior-senior ini banyak mengajar aku tentang erti sebuah kekeluargaan.
Terima kasih :-)



Roh Perjuangan yang takkan mati dalam lipatan sejarah.
   Pejuang-pejuang ini akan terus berbakti pada umat.




Sunday, April 28, 2013

Zikir Penguat Hati - Sungguh kita selalu memandang mudah, tiba masanya, kita baru menghargai

Saya tak tahu nak cakap apa, terasa terhenti seketika.Banyak yang dilalui.Ini bukan tentang peristiwa-peristiwa yang berkisar kesukaran dan sebagainya.Untuk saya, ianya sudah berlalu sekian lama.Kini jiwa itu dibina perlahan-lahan.Sudah hampir 5 minggu ia dibina.Alhamdulillah ianya sungguh menyenangkan, menenangkan dan menggembirakan :-) Terima kasih Allah atas kekuatan yang diberi.Cuma kadang saya teringat, di waktu-waktu sukar itu, kekuatan hanya mampu ditemui apabila kita kembalikan diri kita kepada-Nya.Satu pengajaran yang amat besar dalam hidup saya.Banyak yang saya belajar di situ.Sebagai manusia, kita pasti tidak terlepas dari silap dan salah.Lupa dan alpa.Namun, Allah itu Maha Penyayang.Kerdilnya sebagai hamba, kita terlampau banyak zalim pada diri sendiri dan sentiasa memungkiri janji kita kepada Tuhan, namun Dia tetap tidak meninggalkan kita.Malam ini, entah bagaimana, saya teringat, satu zikir yang menguatkan diri dan hati saya sewaktu di dalam minggu-minggu kesukaran sebelum 5 minggu yang lepas.Lama lupa sebelum diberi ujian pada minggu-minggu itu.Allah Maha Penyayang, menghadirkan kembali ingatan bahawa kita ini disediakan banyak cara untuk kembalikan diri kita kepadaNya.Hayatilah, di malam sepi ini, cukup bermakna zikir-zikir ini.Entah bagaimana, saya rasa saya harus berubah banyak.Saya sudah lama lupa, banyak tersasar, entah bagaimana.Kerdil dan banyaknya berdosa kita ini.Kadang tidak perlu menunggu dosa besar, dosa kecil yang berulang-ulang itu sudah cukup untuk menghilangkan cahaya dari hati kita.Dan perasaan perlunya perubahan itu satu kesyukuran untuk saya, masih diberi peluang.Terima kasih Allah..Dan sungguh, pengalaman itu banyak mengajar dan mendewasakan diri.Ingin mencapai makrifat, bukan mudah.Ingin kenal hakikat kehidupan dan kewujudan, jalan mujahadahnya panjang dan mencabar.Untuk yang mencari ketenangan di dalam rencam hidup, cubalah dengar dan hayati zikir ini.Rasailah dengan pengalaman sendiri.Allah itu Maha Besar, Maha Agung dan Maha Penyayang.Selamat menghayati :-)

1) Oleh Ustaz Zulkarnain (Zikir Hasbi Rabbi Jallallah)
http://www.youtube.com/watch?v=HQwKdo8mvKw

2) Oleh Ustaz Akhil Hayy (Hasbi Rabbi)

http://www.youtube.com/watch?v=A2ebK8ZkCfc

Saturday, April 6, 2013

Membina Jiwa (2)

Aku mahukan jiwa ini kembali
Ia melayang jauh
Sabtu yang terisi
Mana mahu aku cari
Supaya jiwa ini kembali mewarnai diri
Jiwa aku yang sendiri
Bukan jiwa atas jiwa lain
Dalam kehidupan kita hanya perlu bergantung pada jiwa sendiri
Yang diikat pada Yang Maha Pencipta
Tuhan Sekalian Alam
Jika pergantungannya pada jiwa yang lain
Pasti tidak akan pernah tenang
Aku belajar ini daripada pengalaman
Aku sudah berjaya melepaskan diri daripada jiwa lain yang dulu
Secara penuh
Langsung tiada kilan
Cumanya, aku mahu jiwa aku
Yang hilang dan pergi
dalam pergelutan yang dulu
terpaksa aku lepaskan seketika
agar mampu bermandiri
tapi kini masih belum ditemui
Jiwa yang fikir
Masih gambar sama.Hanya ini dapat mengingatkan
pada Sabtu yang terisi jiwa
Yang merasa
Yang salutannya juang
Yang kuatnya jiwa
Yang besarnya cita
Yang depannya cerah
Yang belakangnya mangkin
Aku masih mencari
Kembalilah jiwa itu
Untuk aku hidup pada yang berbaki
Menerus tugas
Terus bergerak
Kembalilah
Ahad hari ini, tidak pasti
Sabtu semalam,
Indah dan penuh dengan kepuasan
Terisinya bekal diri
Itu makna bahagia

Membina Jiwa (Bahagian 1)

Kadang aku terfikir, merasa, susahnya mahu membina kembali jiwa yang telah hilang.Rasanya bagaikan kosong.Kalau boleh, setiap hari aku mahukan pengisian ilmu seperti mana berlakunya pada hari Sabtu.
Hari Sabtu kini terukir penuh ketenangan, kepuasan dan ketenteraman dek penuhnya pengisian yang memaknakan diri.Hanya hari itu sahaja aku fikir jiwa ini hidup.Hari-hari lainnya, aku merasa seolah-olah kempis, sesak di dada, mencari-cari sesuatu untuk menenangkannya.Hidup aku kini sudah lain.Mahu membina kembali jiwa yang pernah runtuh bukan mudah.Aku harus bermula dari bawah.Itu yang getir.Seksa.
Tercari-cari.Bermain dengan masa dan tuntutan yang menghimpit.Semoganya kekuatan itu ada....


Sunday, March 17, 2013

Hari yang Cerah untuk Jiwa yang Cerah

Alhamdulillah, setelah beberapa minggu diuji Allah dengan dugaan yang tidak pernah dijangka, akhirnya menemui kembali jiwa yang hilang dek tersentap dengan perkhabaran yang tak dijangka.Dalam 6 minggu aku tersungkur, mencari dan ingin membina jiwa ini bukan mudah.Di dalam kegelapan itu juga sebenarnya datang satu hikmah paling besar, anugerah yang tidak ternilai, hadiah yang paling mahal, iaitu kurniaan Tuhan Yang Maha Besar kepada hambaNya yang banyak berdosa.Aku bersyukur, nikmat yang paling besar adalah kurniaan hidayah yang menyedarkan kembali diri yang jauh dari Pencipta.Lupa, alpa dan leka.Ujian itu mengingatkan diri, menginsafkan diri, bahawa aku lupa kepada Yang Maha Pengasih.Sungguh Dia penuh dengan kasih sayang dan rahmat.Didatangkan ujian sebagai tanda rindu mendengar hambaNya merintih.Aku bersyukur, tidak terkata.Ini nikmat paling besar, Subhanallah.Terima kasih Ya Allah :-)

Sunday, February 17, 2013

Setelah hati terluka

Saat paling berat, bila kita dapat jawapan kepada segala yang berlaku.Kenyataannya perit.Mudah untuk aku harungi dunia tanpa jawapan.Namun, dengan khabar yang menghiris jiwa, aku rasa seolah luluh diri ini.Apa yang berlaku selama ini, andai itu sebabnya, pasti satu penyeksaan yang paling berat pernah aku terima.Rasa diperbodohkan, dipermainkan dan ditipu.Kemarahan yang tak dapat nak aku luahkan, menjadi barah kebencian dalam diri.Sungguh, ini satu cara yang tak dapat aku maafkan.Maaf, memang aku tak maafkan.Aku boleh bersabar dan menerima kenyataan, namun untuk menerima hakikat bahawa diri ini seolah-olah dipermainkan dengan pembodohan yang dilakukan selama ini, aku tak dapat.Maaf, sehingga dia datang sendiri memohon maaf.Mencabar diri ini bukan satu cara terbaik engkau nak lepaskan diri.Jangan ingat mudah untuk aku maafkan kau setelah bermacam-macam penyeksaan kau berikan.Ingat, kau sedang berdepan dengan aku.Dan kau kenal baran aku bagaimana.Sehingga kau datang melutut meminta maaf, baru aku maafkan.Yang dahulu itu, tipuhelah kau tanpa memberitahu perkara sebenar.Semoga kau faham..