Saturday, June 20, 2009

Pembuka Bicara Wajah Baru

Salam,

Maafkan saya rakan-rakan disebabkan sudah lama tidak mengemaskinikan blog ini disebabkan kesibukan masa serta beberapa masalah teknikal yang lain yang memerlukan saya mengambil sedikit masa bagi memberi sedikit sentuhan segar terhadap blog saya ini.Insya-Allah, selepas ini perjalanan blog ini akan terus bergerak pantas untuk mengupas serta membincangkan isu-isu semasa serta memperjuangkan perubahan mentaliti masyarakat di negara kita ini yang menjadi nadi serta tunjang kepada tertubuhnya blog ini.

Setelah lama berehat serta melakukan beberapa pemerhatian terhadap dunia luar serta isu-isu yang berlaku di sekeliling dalam tempoh masa yang terdekat ini, maka dapat saya simpulkan bahawa kita sebenarnya masih mempunyai harapan untuk membina sinar baru dalam kehidupan bernegara kita ini sama ada dalam bidang pendidikan ataupun politik.Walaupun begitu kekangan serta cabaran yang datang mungkin sedikit sebanyak menimbulkan beberapa kontroversi yang mampu menggugat usaha ke arah pelaksanaan cita-cita murni kita.

Isu yang akan saya bincangkan nanti sekadar mengupas dari pandangan sebagai seorang yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak serta mengadili secara adil dan telus.Tiada ketaksuban dan fanatik kepada pihak tertentu dan juga tidak ada sebarang unsur kecenderungan terhadap golongan tertentu.Sekadar mengutarakannya bagi memberi ruang berfikir kepada kita semua agar kita sentiasa bertindak tanpa melibatkan emosi tetapi berlandaskan petunjuk Ilahi.Mencari jalan hidup yang lurus serta benar.Menyantuni akhlak Islamiyah.

Para pembaca sekalian,

Isu yang hangat dibincangkan sekarang ialah isu kerajaan perpaduan.Idea yang dicetuskan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang ini disokong oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa menjadi pemangkin kepada munculnya usaha-usaha untuk menyatupadukan kembali umat Islam di negara kita yang setelah sekian lama berpecah sesama sendiri sehingga melampaui batasan agama.Pelbagai kecelaruan yang timbul disebabkan perbalahan sesama kita sendiri pada waktu dahulu.Kekeliruan ini memecah-belahkan kita.Menjatuhkan kekuatan Ummah.Lahirnya ketaksuban yang melampau.Melupai sirah junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi, setelah tercetus idea ini, segala kekusutan itu nampaknya kembali menyediakan peluang untuk kita merungkainya kembali menjadi satu.Secara peribadi, saya menyokong gagasan idea ini kerana ianya merupakan satu jalan yang membawa kepada perdamaian serta kesatuan umat Islam.Sebenarnya telah lama saya dan rakan-rakan segenerasi ingin melihat perpaduan ini termasuk kematangan dalam berpolitik oleh YB-YB dalam negara kita.Harapan yang ditaruh selama beberapa tahun dulu akhirnya semakin menjadi realiti.Syukur,Alhamdulillah.

Tetapi menjadi kebimbangan saya juga apabila ada pihak yang kurang bersetuju dengan idea ini.Mungkin mereka ada pendapat tersendiri.Tetapi pada saya, walau sebesar mana pun kesilapan itu dilakukan oleh musuh kita,tidak ada salahnya kita memaafkan mereka dan mencari jalan perdamaian selagi mereka mahukannya demi menjaga kemashlatan Ummah.Kebaikannya merupakan satu nikmat yang tidak terhingga bagi kami semua generasi muda yang suatu ketika dahulu dicelarukan oleh kamu semua wahai pemimpin-pemimpin ku dek permainan politik yang tidak mengenal lagi nilai agama.Ada yang melupakannya dan ada yang terlupa apa yang ada di dalamnya.

Sesungguhnya kita semua tidaklah maksum melainkan hanya para nabi sahaja.Jangan kita lupa bahawa kita manusia tidak sentiasa terlepas daripada karakter diri kita yang kita tidak sedari pada ketika tertentu.Ibarat kata orang, yang Bugis itu bengis orangnya, yang Arab itu kasar wataknya, yang Melayu itu lembut sikapnya.

Yang Nogori itu beradab orangnya, yang Melaka itu kasar bahasanya, yang Kelantan itu................gedeber, terkadang 'keras' hatinya, kadang-kala terlingkar di dalam relungnya sahaja...Oleh itu, ruang untuk kita memperbaiki kesilapan kita dek emosi kita, kelemahan watak kita ataupun kelalaian kita sentiasa terbuka daripada yang Maha Pengampun lagi Luas Rahmat-Nya, Allah s.w.t.Sekiranya kita masih lagi berdegil dengan melayani emosi kita, juga kepada pengikut-pengikut kita yang terlalu taksub, ingatlah, sesungguhnya kembali ke jalan Allah itu akan membuka kembali pintu hati kita yang berjerebu dek kealpaan kita mencari yang hakiki dan mengakui yang hak walaupun pahit untuk kita selama ini.

Maka, apakah tugas sebagai pendakwah ini harus kita berikan kepada orang lain yang tidak tahu pasal agama?Atau kita sendiri yang terlupa untuk bermuhasabah kembali tanggungjawab yang kita pikul sebagai seorang yang membawa panji-panji Islam?Atau kita sendiri sudah terlupa tentang perjuangan Islam kita?Fikir-fikirkanlah........