Monday, May 16, 2011

SEMANGAT KESUKARELAWANAN DI KALANGAN MAHASISWA

Pada 25 sehingga 29 April 2011 baru-baru ini, sekumpulan pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan melakukan lawatan ke daerah Yala, selatan Thailand bagi tujuan menjadi fasilitator untuk sebuah program bernama 'English Camp' yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Pendidikan dan Sumber Manusia (Fehrd Foundation).Lawatan kerja yang dilakukan oleh para pelajar ini dilakukan rentetan daripada misi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam membantu masyarakat selatan Thailand yang mengalami pelbagai masalah ekoran konflik yang tercetus daripada peristiwa Masjid Kerisik dan Tak Bai.Antara masalah utama yang dialami oleh masyarakat Melayu Islam di sana adalah dari segi akses pendidikan yang sempurna dan juga ekonomi.



Kebanyakan yang menerima tempias daripada konflik tersebut adalah golongan kanak-kanak yang terganggu daripada sudut pendidikan serta perkembangan diri dan juga golongan wanita yang kebanyakannya terpaksa membanting tulang dan menggalas tugas lelaki dalam menyara keluarga ekoran kekurangan bilangan lelaki yang menjadi mangsa dalam konflik selatan Thailand sama ada ditembak, dipenjara dan hilang selama tempoh krisis.Justeru itu, kedatangan para pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bertujuan memahami senario sebenar yang berlaku di sana.Kedatangan para pelajar ini pada tujuan utamanya atas jemputan pihak 'Fehrd Foundation' bagi menjadi fasilitator 'English Camp' untuk anak-anak masyarakat Selatan Thai yang mengalami masalah dalam sudut penguasaan bahasa Inggeris.Namun, dalam masa yang sama para pelajar dibawa meninjau suasana yang berlaku di sekitar dan berjumpa dengan keluarga mangsa konflik bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di sana.Selain itu, para pelajar juga turut diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Gabenor, Senator dan juga wakil rakyat di daerah Yala bagi berbincang dan berkongsi pendapat mengenai keadaan yang berlaku di sana.Kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan gambaran tentang situasi yang berlaku di sana dari pelbagai sudut dalam usaha memahami akar permasalahan konflik yang dialami umat Melayu Islam di sana.



Melalui aktiviti bersifat sukarela sebegini, mahasiswa yang selama ini hanya mengetahui keadaan yang berlaku di dalam kampus dan kuliah kini dibawa keluar untuk melihat dan memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat.Ini menyedarkan mereka bahawa tugas yang akan dipikul mereka nanti bukan ringan.Apabila mereka didedahkan dengan keadaan sebegini, kefahaman yang akan mereka perolehi membuatkan mahasiswa sedar bahawa sesuatu konflik yang berlaku bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan dan ia juga bukannya boleh diatasi dalam jangka waktu yang pendek.Ini dapat memberi pendedahan kepada mereka bahawa, ilmu yang diperoleh di universiti sebenarnya harus diaplikasikan di lapangan masyarakat dengan berkesan dan tidak hanya berlegar dalam ruang sistem penilaian akademik kampus.Selain itu, mahasiswa juga dibawa ke dunia luar untuk memahami penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh masyarakat di sana dek keadaan yang tidak aman dan ketiadaan toleransi yang tinggi dalam komuniti masyarakat yang pelbagai.Hal ini amat berkesan untuk menyedarkan mahasiswa bahawa pentingnya sesebuah keamanan dikekalkan dan dipertahankan oleh bakal pemimpin di masa depan.Mahasiswa juga akan sedar betapa pentingnya untuk mempunyai sikap toleransi yang tinggi dan sikap hormat-menghormati dan menjaga sensitiviti serta budaya sesuatu kaum yang juga merupakan sebahagian daripada warganegara yang sah.Hal ini boleh dijadikan pelajaran dalam keadaan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum.Jika kita hilang semangat toleransi dan hormat-menghormati, maka keadaan yang mungkin berlaku adalah seperti yang dapat disaksikan di negara jiran kita yang sentiasa dalam krisis.Kesannya adalah kepada masyarakat sendiri yang akan terancam dari sudut keselamatan dan terganggu dalam pembangunan ekonomi serta pendidikan.Kecurigaan dan syak wasangka yang berterusan hanya akan membawa kesan buruk dalam membentuk perpaduan kaum.



Paling penting di antara semua itu adalah bagaimana aktiviti-aktiviti sebegini dapat menanam sifat kesukarelawanan di dalam diri setiap mahasiswa.Kita tidak mahu mahasiswa yang lahir dari institusi pendidikan tinggi kita hanya tahu mementingkan prestasi mereka sendiri sahaja tanpa mempedulikan keperluan masyarakat.Dengan semangat sukarela sebegini dan kesanggupan melalui keadaan yang susah dan jauh dari bantal empuk, mereka turut sama merasai penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh masyarakat yang memerlukan bantuan.Jika semangat ini dapat ditanam dan dipupuk sedari peringkat awal lagi, maka individu-individu yang bakal menjadi pemimpin negara suatu masa nanti pasti dapat memahami keperluan dan bantuan yang diperlukan di peringkat akar umbi.Mahasiswa tidak seharusnya terpisah daripada masyarakat.Kekuatan intelek dan jasmani mereka amat diperlukan oleh generasi tua dan kanak-kanak yang berada di luar sana.Hatta, kekuatan dari segala sudut yang dimiliki oleh mahasiswa ini juga diperlukan oleh para pemimpin negara sekarang dalam menyumbangkan idea serta tenaga kepada pembangunan negara dan pembentukan komuniti yang bersatu-padu.Akhirnya, amat malang sekali bagi yang bernama mahasiswa jika kita hanya berlingkar di dalam kehidupan kampus tanpa berusaha turun ke lapangan masyarakat dalam usaha memahami dan membantu masyarakat dalam pelbagai bentuk sumbangan sama ada tenaga, ilmu, kewangan dan juga idealisme.Jika kita mahu menaikkan tahap kecemerlangan di universiti kita, maka elemen pembentukan perwatakan mahasiswa perlulah ditekankan seiring dengan usaha kita meningkatkan tahap penyelidikan di universiti.Saya yakin, bahawa universiti-universiti yang hebat di dunia seperti Harvard dan Oxford banyak menekankan kepada aspek pembentukan peribadi mahasiswa sehingga mampu menjulang nama universiti mereka antara yang terunggul dalam melahirkan tokoh-tokoh dunia yang menyumbang kepada masyarakat.Ianya bukan sekadar bergantung kepada penilaian akademik dan penyelidikan semata-mata.



Harapan saya agar mahasiswa kembali turun ke gelanggang masyarakat sekiranya mereka ditimpa bencana.Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang pernah turun ke lapangan sebelum ini seperti dalam peristiwa tsunami di Malaysia dan Acheh, gempa bumi di Pakistan dan Jepun serta banjir di Johor baru-baru ini.Penglibatan mereka dalam membantu meringankan beban masyarakat adalah satu usaha murni yang dapat mendidik diri serta memberi harapan kepada kita semua bahawa pewaris kepimpinan negara adalah mereka yang hebat akalnya dan luhur budinya.Hidup Biar Berjasa.

No comments: