Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Selamat Datang ke blog Pemikirzaman89.Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat dan kenalan yang sudi membaca tulisan di dalam blog ini meskipun penulis jarang mengemaskini tulisan penulis.Hal ini disebabkan beberapa kekangan masa dan juga atas prinsip penulis yang menubuhkan blog ini bukan untuk tujuan ranking, komersial dan sebagainya.Bagi penulis, biarlah blog bersawang, asalkan setiap kali penulisan yang dilakukan oleh penulis mengandungi makna-makna dan mesej yang ingin penulis sampaikan yang disertakan dengan 'zouq' semasa penulis menyampaikannya.Kekangan masa yang dimaksudkan adalah mengenai mendapatkan idea yang betul-betul matang dan masak serta menyampaikannya dengan rasa penuh ikhlas dan juga mempunyai 'jiwa'.Oleh kerana itu, amat sukar untuk penulis menentukan bila masanya untuk mengemaskini blog.Namun penulis juga mengakui, terdapat juga tulisan yang dilakukan secara tidak cermat oleh penulis atau menyampaikan idea yang masih belum masak sepenuhnya dengan diri penulis.Penulis memohon maaf atas perkara itu dan juga ianya merupakan sebahagian daripada perkara yang akan dilakukan untuk menyantuni semua.
Kali ini, penulis ingin berkongsi sedikit penulisan mengenai syarah Dr. Mohd Zaidi Ismail yang merupakan salah seorang murid awal kepada Prof. Syed Mohd Naquib al-Attas.Secara peribadi, penulis dapat melihat sendiri bukti bahawa Dr. Mohd Zaidi Ismail merupakan antara murid yang awal dan rapat dengan Prof. SMN Al-Attas melalui syarah beliau yang begitu jelas kefahamannya tentang gagasan yang dibawa oleh Prof. SMN mengenai Faham Ilmu.Berikut penulis akan kongsikan beberapa catatan yang sempat penulis dapatkan sepanjang syarahan yang diberikan beliau untuk kita ambil manfaat bersama terutama selaku pelajar dan mereka yang berada dalam arena pendidikan.Sekiranya ada kesilapan dan salah faham yang dilakukan oleh penulis dalam menyampaikan kefahaman yang penulis dapat melalui syarah beliau, penulis mohon rakan-rakan yang menyedarinya untuk memberitahu kepada penulis.Semoga perkongsian ini dapat menyedarkan kita kembali mengenai matlamat kita menuntut ilmu dan belajar dari sekolah sehingga ke peringkat universiti bahawa ianya bukan semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah dan mengejar kerjaya dan ganjaran yang bersifat material.Semoga ianya menjadi tazkirah kepada kita untuk merenungi bahawa apakah yang kita kejar di persekolahan dan universiti selama ini betul-betul mengejar ilmu atau hanya maklumat serta kemahiran untuk kita mengorek lombong harta.Sama-sama kita merenunginya, dipersilakan membaca :
Dr.Mohd Zaidi Ismail
FAHAM ILMU DAN PEMBUDAYAANNYA (SIRI 1)
Dr. Zaidi Ismail memulakan syarah beliau dengan menanyakan kepada murid-murid yang hadir mengenai keyakinan mereka bahawa ilmu itu penting.Tujuan persoalan ini ditanyakan untuk mengetahui sekiranya masih ada di kalangan yang hadir kurang jelas dan tidak bersetuju bahawa ilmu itu sangat penting.Jika ada, itu menunjukkan bahawa ada kelompongan besar yang berlaku di dalam sistem pendidikan.Yang dimaksudkan beliau selepas itu adalah bahawa sejauh mana kita meletakkan kepentingan ilmu itu dalam kehidupan kita.Adakah kita meletakkan prioriti kepentingan ilmu ini di peringkat lebih bawah daripada harta dan pangkat.Atau hiburan dan kemahsyuran yang kita letakkan lebih tinggi daripada ilmu.Daripada penulis sendiri, penulis melihat jelas bahawa beliau sebenarnya cuba melakukan kritikan terhadap sistem pendidikan yang ada sekarang.Hal ini kerana apa yang dikejar dalam sistem pendidikan kita pada hari ini bukanlah ilmu tetapi kemegahan status dan kekayaan material.
Seterusnya beliau meneruskan syarah beliau dengan menerangkan hujah dan bukti kepentingan ilmu di dalam Islam.Beliau memberi pembuktian bahawa di dalam Islam ilmu itu dianggap sebagai begitu penting bermula dari awal penciptaan Nabi Adam a.s sebagai manusia pertama lagi.Perbahasan di antara Allah dengan para malaiikat sewaktu Allah bertanyakan malaiikat mengenai penciptaan manusia.Malaiikat mempersoalkan penciptaan manusia atas sebab kebinasaan yang akan dilakukan oleh mereka di atas muka bumi ini melalui pertumpahan darah dan sebagainya.Bukti mengenai sifat manusia yang akan membawa kebinasaan dapat dilihat sewaktu Nabi Adam makan buah 'khuldi'.'Khuld' itu sendiri membawa maksud keabadian.Ia melambangkan bahawa kehendak atau keghairahan yang terdapat dalam diri manusia iaitu kehendak untuk abadi selama-lamanya dan juga kehendak untuk berkuasa tanpa kesudahan.Kehendak inilah yang membawa manusia kepada perumpahan darah sesama mereka.
Namun Allah menanyakan kembali kepada malaiikat, " Namakan apa yang kamu tahu" dan malaiikat tidak dapat menjawabnya.Sedari itu, malaiikat menyedari bahawa tiadalah mereka itu tahu tentang sesuatu melainkan diberikan 'ilmu' tentang 'nama-nama' oleh Allah s.w.t.Di sini menunjukkan betapa Allah itu Maha Mengetahui tentang setiap sesuatu dan Dia mengetahui tentang apa yang malaiikat tidak ketahui kerana ilmu itu milik Allah.Apa yang ingin disampaikan di dalam perbahasan di antara Allah s.w.t dengan para malaiikat seperti yang terdapat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30-35 ialah manifestasi kepentingan ilmu di dalam Islam seawal penciptaan manusia lagi.Allah s.w.t menggunakan keagungan ilmu yang dimiliki-Nya untuk menundukkan para malaiikat tentang penciptaan manusia.Sedangkan dengan sifat-Nya yang Maha Berkuasa, Allah s.w.t boleh sahaja menggunakan kekuasaanNya selaku Pencipta untuk menciptakan Nabi Adam tanpa memaklumkan kepada malaiikat atau menundukkan sahaja para malaiikat menggunakan kekuasaan yang dimiliki oleh Tuhan Yang Maha Agung.
Namun apa yang digunakan adalah kaedah perbandingan ilmu.Ini menunjukkan bahawa di dalam Islam, ilmu itu adalah sesuatu yang sangat asas dengan hakikat penciptaan kita sebagai manusia dan betapa pentingnya ilmu kepada kita.Allah s.w.t mengajarkan 'nama-nama' tentang apa yang ada di bumi kepada Nabi Adam a.s.Begitulah tingginya dan pentingnya kedudukan ilmu di dalam Islam.Selain surah al-Baqarah, terdapat banyak lagi bukti mengenai kepentingan ilmu ini seperti yang dinyatakan di dalam surah Al-Zumar ayat ke-9 dan surah Taha ayat ke-114.Kepentingan ilmu juga dapat dilihat pada hadis-hadis nabi dan juga dari pengakuan serta pengalaman para ahli ilmu sepanjang sejarah Tamadun Islam dari dahulu sehingga kini.
Seterusnya, Dr. Zaidi Ismail mensyarahkan tentang maratib dalam ilmu.Beliau memulakan dengan menyatakan sebuah hadis yang bermaksud "sesiapa yang meletakkan ilmu pada yang tidak layak menerimanya(bukan ahlinya), ibarat mengalunkan permata, mutiara dan emas kepada seekor babi." Berdasarkan hadis tersebut, Dr. Zaidi memberitahu bahawa di dalam Islam, martabat ilmu itu harus dijaga.Hadis itu menegaskan bahawa perumpamaan yang dapat kita gambarkan terhadap memberi ilmu kepada mereka yang tidak layak menerimanya adalah seumpama memberi 3 benda yang sangat bernilai dan tinggi pandangannya pada mata manusia dan menjadi idaman semua kepada seekor babi.Ia menunjukkan bahawa ketiga-tiga barang tersebut tidak akan memberi apa-apa manfaat bahkan akan membawa mudarat kerana ilmu itu tidak diletakkan pada tempat yang sepatutnya atau tidak bersifat 'adil.Hal ini kerana ilmu itu sendiri ada martabatnya.Contohnya :
1. Ada ilmu yang layak diberi kepada semua (umum/orang awam).
2. Ilmu yang hanya layak diberi kepada sesetengah orang sahaja dan bukan semua orang layak diberi.
3. Ketiga adalah ilmu yang 'HARAM' diberi kepada umum atau orang awam melainkan hanya kepada mereka yang betul-betul bersedia dan dipersediakan di kalangan mereka yang layak.
Kepentingan 'maratibul ilmi' ini dijelaskan dalam Islam untuk menunjukkan bahawa bukan semua ilmu boleh diberi kepada semua orang.Dan bukan semua orang yang layak mendapatkan sesuatu ilmu.Ini kerana ilmu itu sangat berkuasa.Ilmu itu boleh membawa kepada kebaikan dan membawa kepada keburukan.Memberi ilmu kepada yang tidak layak dapat digambarkan kesan buruknya melalui analogi ibarat memberitahu di mana letaknya kunci rumah kepada si pencuri.Ianya bakal membawa kemudaratan kepada pemberi, orang sekeliling bahkan yang menerimanya itu juga.
Huraian peribadi penulis :
(*Ulama'-ulama' silam kita telah lama memperbahaskan mengenai perkara ini dan ianya telah menjawab begitu lama pendirian yang dipegang oleh aliran post-modern dan puak liberal yang meletakkan martabat ilmu ini di satu lantai sahaja dan layak dimiliki oleh semua bahkan tidak bersifat eksklusif tanpa memahami dengan cermat dan teliti dengan akal yang bijaksana mengenai kesan buruk yang bakal menimpa daripada penerobosan dan penodaan martabat ilmu yang dilakukan oleh mereka.Tujuannya mudah, supaya di akhirnya mereka dapat menyangsikan pelbagai perkara asas dan pokok di dalam kerangka agama.Hujah-hujah golongan pasca moden ini sebenarnya sudah lama dicantas dan dilumatkan oleh ulama'-ulama' silam yang membina tradisi ilmu yang tinggi melalui kitab-kitab lama yang dikarang oleh para ulama' kita ini yang menjaga serta memelihara rantaian ilmu yang sahih dan berasas.Jika kita kaji kembali, nescaya kita akan kagum dengan kehebatan para ulama' silam kita yang selama ini digambarkan kolot, ketinggalan zaman serta tidak punya daya intelektual yang tinggi apabila hanya berbincang mengenai soal agama sedangkan hakikatnya, mereka membina ketamadunan ilmu yang begitu gah meliputi kesemua bidang melalui kerangka pemahaman yang kuat, jelas, berakar dan bertapak teguh di dalam perbincangan ilmu agama.
Tidak seperti aliran post-modern dan liberal yang menafikan kesemua perkara fundamental sehingga mereka sendiri tiada asas yang kukuh untuk membuktikan penghujahan mereka yang mencantas di awangan sahaja.Kekuatan mereka adalah mereka telah lama menutup pandangan kita terhadap kehebatan tradisi ilmu ulama' kita ini dan memomokkan kita selama beratus tahun dengan kerangka pembinaan ilmu dan pandangan wujud mereka terhadap alam walaupun hujah mereka begitu rapuh, tiada asas dan sama sekali menyalahi rasional yang mereka angkat.Sehingga sekarang, umat Islam sendiri terperangkap dalam sangkar gelap mereka ini tanpa menyedari kita sebenarnya empunya kekuatan ilmu yang tinggi dan hebat.Penghujahan puak ini hanyalah ibarat seekor semut dalam tradisi keilmuan kita.Bahkan mereka sebenarnya amat takut jika kita kembali mengangkat tradisi keilmuwan yang dibina ulama' silam atas sebab mereka menyedari kewibawaan dan kekuatan hujjah yang dimiliki dalam tradisi ilmu Islam.Berbanggalah kita sebagai penganut Islam yang sejati dan tidak usah berasa kecil di atas kehebatan awangan yang dimiliki puak ini.Namun kita mesti ingat, tugas kita bukan mudah dan sekejap masanya.Penjajahan ke atas pemikiran kita (umat Islam) telah berlaku selama beberapa abad.Untuk membebaskannya, kita perlu kembali kepada tradisi kita, membina rantaian ilmu yang kokoh dan berpasak teguh ke tunjangnya, dan kita ini hanyalah salah satu mata daripada mata-mata rantaian yang telah dibina semenjak dari dahulu lagi.Kerana itu, perjuangan dan jihad kita di dalam ilmu ini berterusan dan tidak akan selesai dalam masa yang singkat.Bersabar dan istiqamahlah di dalam perjuangan dan bergurulah kita dengan muallim dan murabbi yang sejati.*)
Kesimpulannya, daripada syarah Dr.Zaidi mengenai faham ilmu ini, beberapa perkara utama ditekankan oleh beliau dalam bab kepentingan dan martabat ilmu.Pertama, Dr. Zaidi menjelaskan bahawa jika masyarakat masih lagi keliru tentang prioriti dan kepentingan ilmu, maka itu jelas menunjukkan bahawa adanya sesuatu yang tidak kena pada sistem pendidikan kita.Jika masyarakat gagal memahami kepentingan ilmu dengan jelas, maka sistem pendidikan yang sedia ada harus dibedah demi mencari kelompongan yang melahirkan individu keliru yang terhasil daripada sistem itu sendiri.Keduanya, beliau bertanya, adakah kita yakin bahawa ilmu itu betul-betul penting sehingga mengatasi segalanya termasuklah kekayaan dan kekuasaan.Bahkan, adakah kita benar-benar yakin bahawa usaha pencarian harta kita juga tidak melebihi tahap letaknya kepentingan ilmu itu dalam kehidupan seharian kita.Adakah kita telah meletakkan kedudukan ilmu itu di tempat sepatutnya dan tidak menggunakan nama ilmu itu demi matlamat yang bersifat material dan ganjaran dunia?
Pertanyaan beliau ini saya tafsirkan sebagai salah satu persoalan yang ditimbulkan untuk mengkritik sistem pendidikan dan pemahaman kita mengenai ilmu dan kedudukannya.Selalunya di sekolah-sekolah dan universiti sekalipun, yang nyata adalah ilmu tidak diletakkan di tempatnya.Ia hanya bersifat slogan dan retorik demi membenarkan usaha untuk mencapai segulung ijazah sebagai lesen untuk kita menggali harta kekayaan.Terakhirnya, Dr. Zaidi menegaskan bahawa betapa sukarnya untuk memahamkan orang yang keliru tentang ilmu.Orang yang keliru ini lahir daripada pengetahuan yang bercampur aduk antara yang benar dan yang salah.Yang salah itu dianggap sebagai benar tanpa mereka sedari.Bahkan tegar pula berpegang dengannya.Mereka menganggap yang salah itu sebagai ilmu, dan golongan inilah yang sangat sukar difahamkan.
Penulis melihat senario ini banyak terjadi di dalam arena pendidikan kita.Kita tegar berpegang pada ilmu yang sebenarnya salah dan membawa kekeliruan.Contoh kepada senario ini begitu banyak terjadi di institusi pendidikan yang menerima kerangka sains Barat yang membawa bersamanya falsafah Barat bahkan dianggap ianya benar belaka dan bersifat Islami.Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan dijadikan asas utama penilaian terhadap kapasiti ilmu yang dimiliki pelajar sedangkan ianya bersifat sementara dan meletakkan matlamat markah serta gred yang dimiliki sebagai kayu pengukur dan juga matlamat utama dalam penilaian.Seterusnya menghasilkan para pelajar yang salah faham tentang matlamat dan kepentingan ilmu sehingga yang didahulukan dan dikejar adalah gred dan sijil yang akan membawa kepada kemegahan dan kemahsyuran sesebuah institusi dan juga individu.Justeru lahirlah watak yang sangat keliru tentang kepentingan ilmu.
Ilmu yang dianggap mereka hanyalah berpusatkan pengetahuan yang dinilai di dalam sistem peperiksaan dan akhirnya jadilah mereka seperti robot-robot yang hanya tahu mengingat dan menyimpan data sedangkan tidak sampai kepadanya makna ilmu itu melalui manifestasi kehampaan jiwa seperti budaya hedonisme melampau yang jelas menunjukkan sifat 'escapisme' pelajar daripada sistem yang mengelirukan mereka tentang erti ilmu.Apa yang dikejar mereka di dalam pembelajaran adalah menamatkan pengajian secepat mungkin dan mendapatkan gred tertinggi bagi memudahkan laluan kerjaya yang diimpikan.Tidak menghairankanlah apabila para penuntut ilmu ini tidak membaca bahan-bahan ilmiah yang berada di luar konteks pembelajaran dan penilaian di dalam kelas.Maka, teramatlah sukar untuk memahamkan mereka yang terkeliru dan berpegang kepada ilmu 'itu' (iaitu yang hanya dapat didapati dan diukur melalui sistem peperiksaan) mengenai konsep ilmu yang sebenar kerana ternyata ilmu yang sebenar itu tidaklah mampu memenuhi aspirasi industrialisasi dan komersialisasi yang terserap dalam di dalam dunia pendidikan.Bahkan kehadiran ilmu yang benar ini hanya akan meruntuhkan prinsip asas yang dipegang dalam kerangka sistem pendidikan yang bermatlamatkan material sahaja.
Sekian untuk penulisan kali ini.Insya-Allah penulis akan menyambungnya lagi dalam masa yang terdekat kerana setakat yang ditulis oleh penulis di sini hanyalah meliputi 3 muka surat catatan yang penulis dapat daripada syarah Dr.Zaidi Ismail.Sedangkan jumlah keseluruhan catatan yang sempat penulis dapatkan berjumlah 24 muka surat tentang tajuk Faham Ilmu sesi pertama ini.Insya-Allah penulis akan menyambungnya lagi dalam waktu terdekat.Penulis memohon maaf jika ada kesilapan yang dilakukan akibat kelemahan pemahaman penulis dalam penyampaian berkenaan syarah Dr.Zaidi ini.Mohon teguran daripada rakan-rakan yang menyedarinya untuk memberitahu kepada penulis demi menjaga keaslian isi yang disampaikan dalam syarah tersebut.Semoga bertemu lagi.Bersambung.....
No comments:
Post a Comment