Monday, January 31, 2011

Isu Mesir dan Tunisia

Salam,


Perkembangan terbaru yang berlaku dalam tahun ini begitu menarik untuk diikuti.Permulaan 2011 digegarkan dengan revolusi rakyat Tunisia dengan menggulingkan Presiden Zen el- Abidine Ben Ali setelah 23 tahun pemerintahannya secara diktator di negara tersebut.Percikan revolusi dan keberanian rakyat Tunisia bangkit melawan pemerintah tersebut seolah-olah penyebaran maraknya api menyusur di setiap jalur minyak.Ia menjadi sumber inspirasi untuk setiap negara Arab yang berada dalam situasi yang sama untuk bangkit melawan kekejaman diktator.Terbaru, Mesir di ambang keruntuhan apabila pihak tentera juga mengambil tindakan seperti yang berlaku di Tunisia, berdiam diri.Revolusi rakyat ini juga turut merebak ke beberapa buah negara seperti Yaman, Algeria dan Jordan.Semestinya dunia akan terus memerhatikan situasi ini kerana di dalam sejarah negara-negara Arab, ini adalah Revolusi pertama selain Revolusi Iran yang berani dilakukan dalam abad ini untuk menggulingkan sebuah kerajaan yang bersifat diktator dalam komuniti Arab yang bersikap patuh dan taat yang tinggi.



Selain itu, antara perkara yang menarik untuk dikaji dalam situasi ini adalah kaitan antara krisis ekonomi dunia dengan kewujudan revolusi.Hubungan antara revolusi dan krisis ekonomi memng tidak dapat dinafikan lagi apabila sejarah menunjukkan peristiwa yang sama akan berlaku setiap kali berlakunya krisis ekonomi.Analoginya mudah, krisis ekonomi dunia akan meningkatkan harga barang keperluan, mengurangkan permintaan dan mengalami masalah bekalan.Nilai mata wang jatuh, inflasi semakin tinggi, pemodal menarik pelaburan dan negara alami kerugian.Kerajaaan terpaksa memotong bajet untuk negara, dan yang biasa akan dipotong adalah berkenaan perbelanjaan untuk rakyat dan akan mengekalkan perbelanjaan untuk golongan pemodal.Dalam kes ini boleh lihat bagaimana Amerika Syarikat bertindak dengan memotong bajet pendidikan dan skim kesihatan pada dekad yang lepas sedangkan dalam masa yang sama melakukan 'bail out' secara besar- besaran untuk menyelamatkan beberapa kompeni-kompeni besar mereka.



Apabila yang diselamatkan oleh kerajaan adalah golongan pemodal dalam situasi yang genting, maka rakyat akan menanggung beban untuk membeli barang keperluan harian untuk hidup.Untuk mencari sesuap nasi menjadi semakin sukar.Harga melambung tinggi.Gaji tetap sama.Kos hidup meningkat dalam semua sektor termasuk pendidikan, kesihatan dan industri seperti industri permotoran.Kilang-kilang akan membuang pekerja-pekerjanya untuk mengekalkan margin keuntungan dalam pemotongan bajet kerajaan dan tanggungan kos.Maka bilangan pengangguran semakin meningkat.Ramai rakyat merana untuk mendapatkan makanan untuk meneruskan kehidupan.Sedangkan dalam masa yang sama para pemodal boleh bermewah-mewahan dengan pemberian suntikan dana oleh kerajaan.Pemerintah juga bersenang-lenang tanpa perlu merasai apa yang dirasai golongan bawahan.Apabila ini tiba, maka saatnya revolusi berlaku juga tiba.Pemberontakan rakyat cenderung untuk dilakukan atas faktor-faktor tadi.Dan kesemua faktor-faktor inilah yang menjadi punca cetusan revolusi rakyat di Turnisia dan Mesir sekarang.



Apa yang menariknya keadaan seperti ini tidak dijangka bermula di Asia Barat.Penganalisis ekonomi menjangkakan situasi bergolak akan berlaku di sebelah Eropah dahulu kerana tanda-tandanya sudah ada.Kebanyakan negara Eropah sekarang mengalami keadaan ekonomi yang genting.Ireland dan Greece sudah tewas dengan muflis.Sepanyol, Itali, dan Perancis menunggu masa.Namun bagaimana keadaan genting ini dialihkan ke Asia Barat dan bagaimana Amerika Syarikat akan bertindak dalam mengekalkan keupayaan sistem kapitalisnya.Apakah pertukaran pemerintah baru akan menukar polisi luar Amerika? Bagaimanakah yang akan berlaku terhadap perkembangan konflik Israel-Palestin setelah pemerintahan Mesir bertukar tangan apatah lagi jika berjaya diambil oleh Ikhwanul Muslimin? Sempadan Rafah akan dibuka dan bagaimana reaksi Amerika setelah Israel menjadi gelabah?



Bagaimana pula dengan harga minyak yang pasti akan 'bergoyang' besar? Setakat tulisan ini ditulis, harga minyak dunia telah melambung ke tahap $100 setong (antara yang tertinggi semenjak 2008).Bagaimanakah kenaikan harga ini akan mempengaruhi pelaburan luar di semua negara? Adakah Amerika akan semakin menekan negara-negara dunia ketiga? Bagaimana pula dengan hubungan luar Malaysia? Bagaimana Malaysia akan menangani krisis ekonomi sebegini? Yang pasti, negara Eropah dan sistem kapitalis di ambang keruntuhan, namun kekreatifan Amerika menangani perkara ini yang amat membimbangkan.Kita di Malaysia juga harus bersedia untuk menghadapi situasi dunia seperti ini.Kerna dalam era globalisasi, krisis di satu tempat dalam dunia akan menjejaskan keseluruhan komponen-komponen dunia seperti rantaian domino.



Akhir kata, kedua-dua revolusi itu dikuasai oleh golongan pelajar dan belia.Ini menunjukkan kuasa perubahan yang ada pada anak muda.Situasi sama dimulakan oleh pelajar di UK dalam menangani isu kenaikan yuran universiti.Bukan bermakna penulis menyokong demonstrasi jalanan membuta-tuli, tetapi satu bentuk lontaran persoalan harus difikirkan, di tahap manakah cakna golongan pelajar kita?Adakah mereka sedar keadaan ini ada kaitan dengan kehidupan mereka selepas ini dan bukan sekadar berkenaan rakan-rakan mereka di Mesir sahaja? Kata kawan penulis, buat apa budak-budak ini nak cakna, exam takkan tanya.Fikirkan ;-)

No comments: