Sunday, November 28, 2010

Sajak Buat Aktivis Mahasiswa

Risalah untuk Aktivis Umat


Runtuhan bangunan dan kota bedilan meriam,

Tangisan bayi dan laungan insane kelaparan,

Derita di wajah Hawa dinoda tentera,

Tengorak bersepahan di padang luka:

Mudah menganut simpati umat ku

Para aktivis segera ke hilir ke hulu.






Dari kampus ke hujung desa dan pinggir kota

Kering tekak menyebar cerita: umat derita!




Dan putaran sengsara umat tiada putusnya,

Dari helah kejam Yahudi ke angkara Serbia,

Para aktivis tiada gentar bersuara lantang,

“Ayuh! Kita tentang segala petualang!”




Tapi runtuhan tiang-tiang mahligai ilmu dan iman,

Tiada terkesan pada badan dan bangunan,

Hanya terpapar pada budi dan bahasa,

Jelas terang pada hati nan tiada buta.







Dan keluhan ilmuan dalam pendakian

Mencari makna dua kehidupan

Memerah akal menggilap pekerti

Menimba hikmat Ali dan Ghazzali

Membangun lembaga pengajian tinggi

Menghimpun alim mutaalllim sejati;

Dan bila pewaris Nabi mengedar piala

Minuman budi dan akal perkasa

Ingin membina bangsa semesta

Mengangkat amanat junjungan Mustafa.





Para aktivis menggeleng kepala…

Perjuangan apa sebegini rupa?

Tiada darah tumpah tiada rumah musnah?

Tiada Hawa diratah tiada bayi dimamah?

Hanya dakwat terhimpun di muka surat

Hanya kata-kata yang mudah dibuat!







Kehancuran khazanah ilmiah pada mereka,

Akibat kedegilan ilmuan terlalu leka,

Dengan kertas-kertas lama dan kata-kata,

Dengan ide-ide yang tak dapat diniaga,

Pemahaman tentang Tuhan dan segala sifat,

Pemurnian jiwa dari khilaf dan khurafar,

Bukan berupaya mengisi perut lapar,

Bukan mampu menangkis peluru liar!






Aktivis mencari kuasa membina bangsa

Kuasa sebenar dalam dada tiada nyata






Bila kuasa tergenggam sedikit

Namun harta berganda berbukit

Jiwa hampa menjelma belangnya

Dianggap musuh segala hukama!

Nilai akhlak terpaku di libas zahir

Wibawa agama dirujuk ke pena Kafir!







Kata-kata di muka kertas beratnya hakiki

Tersimpan khazanah Ilahi dan mutiara insani

Jika digali-gilap disimpul makna dalam dada

Jika diserap pada ribuan jiwa remaja dan dewasa

Jika dipimpin helang ilmi menerbang di langit luas

Mengawal padang dari belalang dan haiwan buas






Para aktivis: bermukimlah di taman adabi

Sungguhnya kekuatan kita bermula disini,

Membangun bangsa berjiwa singa berhati mulia

Kita mampu bangkit semula, percayalah hamba!





Oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud

Dipetik dari Mutiara Taman Adabi.

Sunday, October 31, 2010

Kembalikan Makna Sebenar Pendidikan

Keputusan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia baru-baru ini yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mengekalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah satu langkah yang tepat dan merupakan satu perubahan yang paling signifikan dalam wacana pendidikan negara.

Perubahan yang berani dan bersejarah ini sebenarnya merupakan satu tindakan yang begitu dinantikan oleh ramai para pemerhati dunia pendidikan di Malaysia oleh kerana ketidakberkesanan dan kelompongan yang ada dalam sistem sebelum ini sehingga mewujudkan satu generasi yang dikatakan tidak menepati aspirasi dan matlamat asal pendidikan secara umum di Malaysia.

Sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan adalah salah satu sebab yang paling utama mengapa cadangan pemansuhan ini diutarakan.Hal ini kerana fenomena yang melanda dalam sistem persekolahan di Malaysia menunjukkan unjuran yang tidak sihat disebabkan penekanan yang berlebihan terhadap sistem yang berorientasikan pentaksiran yang melampau.

Antara kesan yang dapat dilihat daripada penumpuan yang berlebihan terhadap ukuran kejayaan berorientasikan gred peperiksaan adalah fenomena kelahiran generasi pelajar yang digelar sebagai ‘burung kakak tua’.Kewujudan generasi ini membawa ciri-ciri pelajar yang pasif serta tidak bersifat kritikal sebaliknya hanya pandai untuk menggunakan ilmu yang hanya diperoleh di dalam ruang bilik darjah mereka sahaja tanpa mampu untuk menganalisis, mentaksir serta mengaplikasikan ilmu yang diperolehi itu untuk kegunaan di luar kelas yang secara nyatanya adalah kemahiran hidup yang paling penting yang menjadi matlamat paling utama sistem pendidikan negara.

Pandangan daripada dua orang cendekiawan Prof. A Murad Merican pensyarah UTP dalam rencana tulisan beliau yang bertajuk Universiti Kita Ketandusan Idea (Utusan Malaysia, 4 Oktober 2010) dan juga Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak selaku Naib Canselor USM dalam tulisan bertajuk Pendidikan:Mencari Kebenaran (Utusan Malaysia, 12 Oktober 2010) menunjukkan kepada kita bahawa perlunya satu pembaharuan dan pembetulan dilakukan terhadap sistem pendidikan negara.

Kedua-dua tokoh ini merungkaikan masalah sebenar yang berlaku dalam sistem pendidikan zaman kini secara akarnya dan bukan secara permukaan.Hal ini penting kerana untuk kita menganalisis permasalahan sebenar yang berlaku dalam sistem pendidikan dan hasilnya yang dicerminkan oleh pelajar dan golongan yang pernah melalui sistem pendidikan ini, kita perlu melihatnya dari punca sebenar dan bukan manifestasi luaran yang berlaku kesan pembinaan dalam proses pendidikan negara.Contoh manifestasi luaran yang telah muncul akibat sistem pendidikan yang menyimpang antaranya masalah sosial di kalangan remaja, kehilangan integriti di kalangan pegawai kerajaan, keruntuhan nilai moral dalam masyarakat, ketidakstabilan institusi rumah tangga dan juga tidak terlepas kelahiran golongan pemimpin yang mencelarukan.

Industralisasi pendidikan dan komersialisasi ilmu adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya kepincangan dan kecelaruan dalam sistem pendidikan kita hari ini sehingga kata Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam artikelnya pendidikan bukannya lagi untuk mencari kebenaran sebagai matlamat terakhir.Yang menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan pada hari ini terus menimbulkan tanda tanya.Adakah pendidikan kita pada hari ini telah menjadi medan untuk memperkayakan golongan pemodal?Atau ianya dijadikan sebagai kuda tunggangan untuk mencapai kekuasaan politik empayar dunia dengan membina struktur pendidikan yang berorientasikan industri?

Tanpa kita sedari, matlamat-matlamat yang melencong sebeginilah yang telah memusnahkan semangat dan falsafah sebenar pendidikan.Menurut cendekiawan Islam yang ulung dalam zaman ini, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, pendidikan adalah penyemaian adab dalam diri seseorang.Ini dijelaskan pula oleh beliau dalam konsep pendidikan yang dimaksudkan sebagai ta’dib iaitu pendidikan bukanlah suatu proses yang akan menghasilkan pakar, melainkan proses yang akan menghasilkan individu yang baik yang akan menguasai pelbagai bidang pengajian secara sepadudan sebati yang mencerminkan pandangan hidup Islam.

Apabila kita cuba memahami garis panduan yang dikemukakan oleh tokoh pemikir Islam yang terkenal ini, maka sudah pasti dan jelas bahawa perlunya dalam proses akhir pendidikan itu memerlukan kelahiran seorang insan yang dapat dibentuk dirinya untuk mempunyai pandangan alam ataupun ‘worldview’ yang tepat.Ilmu yang benar sudah pastinya akan melahirkan hikmah dan membentuk keperibadian penuntut ilmu tersebut.Namun apa yang terjadi pada hari ini ialah kehilangan makna ilmu dan kewujudan orientasi maklumat yang disalahtanggap sebagai ilmu.Apabila proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tidak menepati falsafah dan matlamat sebenar pendidikan, maka yang berlaku seperti mana hari ini hanyalah proses penyaluran maklumat kepada pelajar.

Senario ini menggantikan dan menghilangkan kedudukan ilmu itu sendiri sehingga mengakibatkan ketidakupayaan kita untuk membina peribadi penuntut ilmu melalui sistem pendidikan.Sekaligus menghilangkan ketibaan ‘hikmah’ dalam diri penuntut ilmu.Inilah yang berlaku dalam sistem pendidikan kita hari ini bermula dari sekolah rendah sehinggalah ke universiti sekalipun.Tiada satu pun yang terlepas daripada gejala kehilangan makna atau hadir ilmu itu disebabkan penyelewengan yang telah dilakukan terhadap matlamat pendidikan tersebut sama ada melalui matlamat ekonomi ataupun politik.

Ilmu telah didagangkan, pelajar dimodalkan, dan akhirnya graduan dijual kepada pasaran.Inilah kehendak ekonomi dunia pada hari ini dan inilah juga matlamat pendidikan kita pada hari ini.Kerana itu jangan kita selalu mempersalahkan generasi remaja masa kini sahaja atas kecelaruan peribadi, kekacauan jiwa, ketempangan intelektual, ketidakupayaan berfikir kritis, kelunturan semangat kekeluargaan, pengasingan diri daripada masyarakat dan juga kerosakan moral yang ditunjukkan mereka kerana kelahiran mereka sehingga peringkat ini bukannya berlaku secara semulajadi tanpa faktor penyumbang yang dibentuk oleh sistem di sekeliling mereka.

Mungkin inilah yang dikatakan mereka sebagai mengekspresi diri terhadap kecelaruan, kehilangan makna dan kekeliruan terhadap sistem yang wujud di persekitaran.Mereka lakukan vandalisme, merempit, memberontak, hedonisme dan pelbagai lagi ekspresi dilakukan mereka sebagai lambang penentangan terhadap kegagalan sistem pendidikan hari ini melahirkan makna diri dalam jiwa pemuda-pemudi ini.Kegagalan mewujudkan makna ilmu ini membawa kepada kekosongan jiwa dan kecelaruan identiti sehingga ke tahap yang paling parah adalah kekeliruan nilai.

Semua ini berlaku semenjak dari alam persekolahan mereka lagi kerana di situlah persekitaran yang paling lama mereka didedahkan.Tanpa kita sedar, sekolah mengajar mereka bagaimana ingin menuntut ilmu untuk menjadi kaya.Sekolah jugalah yang mengajar mereka bagaimana untuk membina strata dalam masyarakat dengan mendapatkan kejayaan akademik yang diukur melalui jumlah ‘A’.Sekolah jugalah yang mengajar mereka bagaimana kita perlu melabel dan mengasingkan golongan yang gagal dalam sistem industri ini sebagai golongan yang tidak mempunyai masa depan atau merujuk kepada tulisan Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sebagai tidak menepati ‘kualiti’ pasaran.Sekolah jugalah yang mendidik pelajar untuk bersikap perikemanusiaan hanya kepada prioriti kejayaan akademik dan merendahkan prioriti keluarga serta masyarakat.

Sehinggalah semua ini mengakibatkan pertentangan nilai dan logik akal bagi para pelajar yang masih lagi bersih daripada dosa dan juga mempunyai pertimbangan akal yang jujur dan ikhlas.Secara semula jadinya nilai yang baik tidak akan menjadi baik lagi dalam alam persekolahan mereka kerana yang dikatakan baik itu hanyalah kepada yang memenuhi kriteria pasaran semasa.Memilih untuk menjadi seorang pendidik agama, pejuang bahasa, pelajar sains kemanusiaan, penggiat sastera dan pejuang masyarakat tidak lagi dikatakan baik dan bijak dalam sistem pendidikan komersial hari ini.Yang baik dan berjaya itu adalah kepada memilih untuk menjadi doktor, jurutera, arkitek, ahli sains, ahli perniagaan dan empunya harta dan duit yang banyak.Hidup selesa, rumah mewah, pangkat tinggi, kuasa besar dan pengaruh yang kuat itulah yang dicirikan sebagai ‘kualiti’ untuk berjaya dalam sistem pendidikan.

Pandangan masyarakat diubah oleh industri untuk menerima ciri-ciri kejayaan dalam pendidikan ini sehingga begitu ramai ibubapa bertungkus-lumus menghantar anak mereka ke pusat tuisyen siang dan malam, menghalang aktiviti luar dan ko-kurikulum, mengehadkan ruang bacaan anak-anak hanya kepada buku teks di sekolah dan menyasarkan sekeping sijil yang tertera PNGK 4.0 atau 5,8 dan 10 A sebagai matlamat kecemerlangan dalam pelajaran.Apabila ini yang berlaku dan ianya diterima dalam masyarakat sebagai nilai ukuran kejayaan dalam sistem pendidikan maka berlakulah fenomena tragis yang melanda seluruh negara kita buat beberapa tahun lamanya.Kita hilang makna pendidikan dan kita gagal melahirkan masyarakat yang ‘budiman’.Dimanakah nilai pendidikan kita hari ini?Anak-anak disogok dengan nilai kejayaan berbentuk material dan masyarakat berlumba-lumba mengejar ‘kejayaan’ mereka yang tiada penghujungnya.

Maka tidak mustahil melalui senario ini anak-anak kita sudah tidak lagi mampu memahami apa itu tujuan hidup ini.Lalu lahirlah produk-produk yang tidak dapat menghargai nilai integriti, nilai moral, nilai keluarga, nilai masyarakat dan nilai sebuah kehidupan sehingga mereka sanggup menjerumuskan diri mereka ke lembah hidup yang tidak bertujuan dek kerana percanggahan dan hipokritnya sistem pendidikan yang ada pada hari ini dalam mendidik mereka.Maka hilanglah rasa hormat itu lalu diekspresikanlah oleh mereka itu ke dalam semua gejala-gejala negatif yang wujud pada hari ini.Kepincangan moral yang berlaku pada hari ini sebenarnya lambang kegagalan kita dalam memberi definisi sebenar pendidikan kepada generasi anak cucu kita ini.

Justeru itu, bersama-sama gagasan Timbalan Perdana Menteri, maka adalah amat elok untuk kita melakukan revolusi secara intensif dalam sistem pendidikan negara agar dapat kita sama-sama memperbetulkan kembali kelompongan dan kepincangan yang telah mewarnai sistem pendidikan dan pandangan alam generasi kita pada hari ini.Pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan tidak lebih daripada menjadi tempat kawalan mutu sesebuah kilang yang menentukan ciri-ciri produk yang dikehendaki untuk dijual ke dalam pasaran dan bukannya bertindak untuk memperbetulkan pasaran.Kerana itu wujudnya fenomena graduan perlu memasarkan diri kepada industri dan bukan industri mencari mahasiswa untuk dipandunya.

Sekolah dan universiti hari ini menjadi tidak lebih daripada sebuah kilang yang menghasilkan robot-robot untuk berkhidmat kepada empunya modal dalam pasaran ekonomi dunia yang bebas dan tiada sempadan.Jika kita ingin melihat anak muda hari ini dapat memimpin masyarakat dan negara ke landasan yang tepat, maka tanpa perlu berlengah lagi haruslah kita sedar dan berubah untuk melihat kembali kepada tujuan asal sebuah pendidikan.Jika kita gagal, jalan kekeliruan yang tiada penghujungnya akan menghancurkan generasi dan tanah air yang kita sayang ini.Musnah pemuda bangsa maka jatuhlah negara.Semoga usaha pembaharuan ini dapat mengembalikan erti dan makna sebuah pendidikan terutama ke dalam diri anak-anak muda kita.Renungkanlah...

Wednesday, September 29, 2010

Konvokesyen Kita

Musim ini sekali lagi kita akan dimeriahkan dengan suasana konvokesyen oleh institut-institut pendidikan tinggi seluruh negara.Kerana tidak berkesempatan masa lagi untuk mengulas dengan lebih panjang, maka saya sertakan di sini puisi untuk kita renung bersama buat graduan yang berjaya, salam pengijazahan...

APA MAKNA KONVO KITA

Di kala ini ramai yang gembira,
Kerana mereka kata sudah berjaya,

Di kala ini juga ada yang menitis air mata,
mengenangkan betapa beratnya derita,

Di kala ini ibu bapa bergembira,
Atas kejayaan anak-anak memenuhi harapan mereka,

Di kala ini juga universiti mendabik dada,
atas kelahiran ramai graduan dalam sistem mereka,

Di kala ini graduan bergembira,
kerana kerja menanti mereka,
gaji empat lima angka tersedia,
rumah dan kereta mula ditanya,
kerana ini mungkin matlamat pendidikan kita...

Jika ini yang berlaku maka janganlah kita bergembira,
Kerana kita telah terlalu leka,
menipu diri dengan makna berjaya,
menuntut ilmu untuk dunia,
niat kerana Ilahi hanya perhiasan semata,

jika ini ertinya berjaya,apa maknanya hidup di dunia...

Monday, June 14, 2010

Ulasan Sesi Kupasan Buku 'Islam & Secularism'

Salam Sejahtera,

Pada 18 Jun 2010 baru-baru ini,bersamaan dengan hari Jumaat,bertempat di Shafi'e Conference Room Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Halaqah Keilmuwan Muda(HAKIM), ABIM dan Curiosity Institute telah mengadakan sesi kupasan dan diskusi terhadap buku paling penting karya Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas iaitu 'Islam and Secularism'.


Buku ini pada saya adalah salah satu 'magnum opus' karya Prof.SMN yang teramat penting untuk dihadami oleh setiap pemuda-pemudi dan juga bagi sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan pencerahan terhadap situasi yang melanda dunia pada masa kini bersama penyelesaiannya.Membaca karya al-Attas ini membawa kita ke sebuah pengembaraan alam yang begitu asyik dan menyelami lautan masalah yang begitu mendasar serta mencari sudut pandang alam dengan terbang tinggi ke angkasa bagi memahami situasi dunia dan gagasan penyelesaiannya secara 'kulli'(menyeluruh).

Namun untuk memahami setiap pemikiran yang ingin diungkapkan oleh Prof SMN di dalam karyanya ini bukanlah sesuatu yang mudah.Ini kerana ketelitian yang begitu tinggi serta kandungan pemikiran Prof yang menjangkaui pemikiran orang kebanyakan termasuklah para 'academicia' sendiri membuatkan kebanyakan daripada kita tidak mampu menghadami hatta untuk mengunyah kandungannya juga belum tentu dapat dilakukan.Ada antara pembaca serta pengkaji penulisan Prof SMN ini terpaksa mengulangi pembacaan mereka 3 hingga 4 kali pembacaan semata-mata untuk memahami pemikiran yang cuba diungkapkan oleh Prof dalam karya tersebut.Namun tidak kurang juga yang masih terpaksa melakukan lebih daripada bilangan tersebut.

Justeru itu,sumber ilmu yang begitu berharga yang diungkapkan di dalam karya hebat ini perlu dihadami secara berguru bagi mendapatkan pemahaman yang lebih jelas dan tepat.Nilai yang dimiliki oleh buku ini bukan calang-calang.Kerana itulah para intelektual berlumba-lumba untuk menghadami karya ini.Antara kepentingan yang paling jelas dapat kita rasai bersama ialah keupayaan buku ini untuk menjawab segala persoalan yang dimainkan oleh para modenis dan juga post-modernis.Sesuai dengan tajuknya 'Islam and Secularism', nilai-nilai fahaman sekular dapat diruntuhkan dengan begitu jelas oleh buku ini.Kerana itu karya ini begitu digeruni oleh para pendokong 'ism'(ideologi) yang tidak berpaksikan ketauhidan Maha Pencipta.

Dengan kemampuan kita untuk memahami buku ini,maka segala permasalahan yang berlaku pada masa kini dapat diperbaiki dari segenap aspek kehidupan samaada melibatkan politik,ekonomi,sosial,pembangunan,moraliti dan juga kemanusiaan.Jika orang awam mampu memahami perkara ini dan pemikiran ini dapat digerakkan ke dalam ummah,maka proses mentarbiyyah serta membaiki kembali kepincangan sistem kehidupan masa kini pasti dapat dilaksanakan.Sesuai dengan azam ini,maka di bawah ini adalah beberapa isi penting yang termampu dicatatkan semasa sesi diskusi tersebut yang dikendalikan oleh Assoc. Prof. Dr Muhammad Zainiy Uthman yang merupakan salah seorang anak didik Prof SMN.Ikuti rumusan perkara-perkara penting diskusi tersebut seperti di bawah :

ISLAM AND SECULARISM
oleh : Assoc. Prof. Dr Muhammad Zainiy Uthman

1. Pada awal sesi,Dr. Zainy mengupas bab pertama di dalam buku tersebut.Huraian mengenai bagaimana munculnya sekularisme dibincangkan dengan menyelami perkara yang berlaku ke atas agama Kristian.Antaranya memahami jenis-jenis agama Kristian yang sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu 'Eastern Christianity' dari Greek dan juga 'Western Christianity'dari Rom.Beliau juga menekankan kepentingan mengetahui ciri-ciri yang membezakan antara kedua-dua jenis Kristian ini.

2. Dr.Zainy juga memberitahu hadirin bahawa 'mythology' adalah salah satu perkara penting untuk memahami persoalan-persoalan di dalam agama.Kerana itu para pengkaji Barat yang kini cuba memahami aspek metafizik mula memberi penekanan kepada aspek-aspek 'mythology' ini dengan mengetengahkan pelbagai filem dan cerita yang memaparkan tema tersebut seperti 'Clash of the Titans','Narnia' dan 'Lord of the Rings'.Kesemuanya dihasilkan oleh profesor dari Universiti Oxford.Dr.Zainy juga mencadangkan hadirin untuk membaca karya Joseph Campbell yang banyak menghasilkan karya bersifat sedemikian.

3. Kepentingan bahasa Arab sebagai salah satu bahasa ilmu diserlahkan melalui penggunaan bahasa ini oleh para 'academicia' di UK yang menganggap bahasa Arab sebagai bahasa Sains(language of science).Di UK terdapat dua jenis institusi kesarjanaan utama dalam bidang ilmu.Pertamanya ialah Royal Academic yang dipenuhi oleh para saintis.Keduanya British Academia yang dikuasai oleh intelek sains kemanusiaan.Mereka semua bercakap dalam bahasa Arab kerana pada mereka itulah bahasa sains,bahasa yang digunakan untuk memahami sains!Untuk para intelektual yang ingin memasuki Universiti Oxford, mereka wajib mengetahui bahasa Arab!Begitulah hebatnya bahasa Arab diakui sebagai bahasa ilmu di kalangan intelektual Barat sendiri.Jika diteliti lagi kata Dr. ,kita akan mendapati bahawa universiti yang menjadi kebanggaan dunia dan Eropah ini sebenarnya tidak bertunjangkan sekularisme atau menmisahkan agama dari kehidupan.Sebaliknya jika diperhatikan moto yang digunakan oleh universiti ini mereka sebenarnya mengakui secara jelas betapa perlunya agama dalam mendapatkan ilmu.Moto Oxford "Dominus illuminatio mea" membawa maksud "The Lord is my light".Cambridge pula dengan motonya "Hinc lucem et pocula sacra" yang membawa maksud "Literal: From here, light and sacred draughts
Non-literal:From this place, we gain enlightenment and precious knowledge".Begitu juga dengan beberapa universiti terkemuka dunia yang lain yang menjadi tanda kesarjanaan dunia Barat pada zaman kini.Kebanyakannya dipengaruhi oleh pengaruh tamadun Islam.Ini juga menunjukkan bahawa universiti-universiti ini sebenarnya berjaya kerana menggunakan kefahaman asas kukuh (basic foundation) daripada Islam dan bukan hanya beretorik seperti mana yang terdapat oleh universiti-universiti negara Islam zaman kini.




4. Dr.Zainy juga mnenerangkan tentang makna 'ism'(ideologi) yang merupakan pembentukan daripada juzuk-juzuk kecil ideologi sehingga membentuk 'superstructure' ideologi.Antara contohnya ialah 'secularism','post-modernism','capitalism' dan 'liberalism'.Untuk 'ulama yang menyedari dan memahami perkara ini,mereka pasti tidak akan menggunakan terma 'ism' dalam ilmu dan pengetahuan Islam.Sebagai contoh 'suphism'(sufisme).Hal ini kerana penggunaan perkataan 'ism' dalam cabang-cabang agama akan mengeluarkan elemen-elemen kerohanian dalam agama.Ini akan melambangkan agama bukan lagi untuk dipraktis tetapi hanya ideologi(dalam fikiran) dan mengeluarkan maksud agama iaitu 'ad-Din' sebagai cara hidup.Sebaliknya dalam mengamalkan agama,Islam meletakkan nama cabang kerohanian ini dengan penggunaan nama 'Tasawwuf'.Ini menunjukkan Islam pada awal-awal lagi telah membuang segala elemen sekularisasi dalam asasnya dan tidak sama sekali boleh dipisahkan seperti mana yang berlaku kepada agama Kristian.Ini juga menjadi hujah untuk mempertahankan Islam daripada serangan hujah pihak liberal.

5. Selain itu,Dr.Zainy juga menerangkan tentang penggunaan perkataan 'islamic' yang banyak digunakan dalam mengaplikasikan tatacara hidup Islam.Berdasarkan pengalaman menuntut imu daripada Prof SMN,beliau membantah penggunaan perkataan ini atas untuk tujuan tersebut.Hal ini kerana di dalam Islam tidak terdapat atau wujudnya perkataan atau perkara yang dinamakan 'islamic'.Islam itu sendiri sudah mencakupi keseluruhan.Ia adalah satu tatacara hidup yang syumul.Tidak tepat untuk menggambarkan pengamalan Islam dalam sesuatu bidang dalam kehidupan dengan perkataan
'islamic'.Begitulah ketelitian pemikiran Prof SMN dalam memahami dan menggunakan ilmu semantik.Sebaliknya,golongan yang dinamakan 'islamic' itu sebenarnya merujuk kepada golongan umat Islam yang tersasar dari landasan Islam.Dalam bahasa Arab,kitab-kitab lama manamakannya 'Islamiyyun'.Contoh golongan ini seperti Muktazilah,Islam Liberal, Ayah Pin dan sebagainya.

6. Perkara seterusnya yang dinyatakan oleh Dr. Zainy ialah Islam bukan sebuah ideologi.Ideologi datang daripada manusia,dicipta oleh idea-idea manusia.Islam datang dari Tuhan.Diwahyukan oleh Allah kepada umat manusia.Bagi masyarakat Barat yang menggunakan bahasa Inggeris,mereka menggunakan perkataan 'Islamic religion' untuk merujuk kepada agama Islam.Ini tidak tepat seperti mana dibicarakan sebelum ini tentang makan 'islamic'.Mereka menyebut sebegitu kerana mereka beranggapan bahawa Islam datang daripada para pemikir Islam.Kerana itu di dalam menggunakan perkataan yang betul mengikut konsepnya, Prof SMN menekankan penggunaan perkataan 'religion of Islam' dan bukannya perkataan 'Islam religion'.Ini disebabkan mengikut penggunaan tatabahasa Inggeris yang tepat, penggunaan 'of' bermaksud Islam bukanlah 'sub' kepada agama tetapi Islam adalah sebagaimana ia,iaitu sebetul-betulnya agama.Sesuai dengan konsep dalam Islam bahawa Islam adalah agama itu sendiri dan inilah cara hidup/ad-Din.Justeru itu penggunaan perkataan 'Islam religion' adalah salah kerana ia membawa maksud Islam adalah 'sub' kepada agama dan ini bermaksud agama lebih besar berbanding Islam.Ini terang-terang menyalahi konsep Islam yang menerangkan bahawa hanya Islam sebagai ad-Din(cara hidup).

7. Dalam sesi soal jawab,Dr.Zainy menjawab persoalan yang dikemukan oleh salah seorang hadirin iaitu mengenai ideologi nasionalisme yang disifatkan assabiyyah.Dr. Zainy Uthman menjawab bahawa penggunaan perkataan ini telah dibincangkan di dalam 'al-Muqaddimah' karya Ibnu Khaldun yang paling terkenal.Dr. Zainy menjelaskan bahawa ia dibenarkan dalam Islam.Namun penggunaanya terhad pada tahap tertentu sahaja (legal for certain extend).Maknanya ia tidak boleh melebihi tahap atau batas yang mengharamkannya.Assabiyyah itu sendiri perlu difahami maknanya dan konsepnya.Assabiyyah muncul atas dasar dan sifat 'kebersamaan' manusia yang lahir secara fitrah.Ia adalah solidariti manusia yang semulajadi.Kerana itu ia dibenarkan kerana sifat semulajadi manusia yang mempunyai minat yang sama,ciri-ciri kebersamaan bersama yang boleh meletakkan mereka di bawah satu permuafakatan.Namun ia menjadi haram dan tidak dibenarkan apabila ia membawa kepada 'nepotisme'.Iaitu keadaan yang menyebabkan kita hanya memilih dari kelompok yang sama dengan kita sahaja contohnya keluaraga,kaum kerabat,etnik dan sahabat handai.Hal inilah yang berlaku dan meruntuhkan kerajaan Islam pada zaman dahulu.

8. Perkara terakhir yang dibincangkan oleh Dr. pada malam tersebut ialah berkenaan dengan sains.Barat pada masa kini sememangnya menghadapi masalah besar dengan sains.Mereka bermasalah kerana sejarah sains moden di Barat yang menimbulkan seribu satu konflik yang menempangkan kehidupan sekarang.Mereka keliru dalam menanggapi dan memahami sains.Pada era Newton(bukan sahaja seorang ahli sains tetapi mesti diingatkan bahawa asalnya seorang ahli falsafah yang mengkaji alam semulajadi), beliau telah meletakkan satu prinsip yang menjadi pegangan kepada sains empirikal pada masa kini iaitu "everything predictable".Dan inilah yang menimbulkan masalah kepada sains Barat yang ada pada hari ini.Sains sepatutnya anak kepada falsafah tetapi pada masa kini sains telah terpisah dan mereka(ahli sains dan masyarakat sains amnya) tidak langsung melihat kepada falsafah kerana ia adalah abstrak dan tidak diterima dalam sains yang bersifat 'empirikal' seperti mana yang diperjuangkan mereka.Sedangkan pada waktu dahulu sains dan falsafah adalah satu unsur yang tidak boleh dipisahkan.Apabila bercakap mengenai sains pasti tidak boleh terlepas daripada falsafah.Tetapi berbeza dengan masa kini,kerana itulah generasi berpendidikan aliran sains masa kini telah kehilangan jiwa dan makna terhdap kehidupan.Apatah lagi dipacu dengan nilai perindustrian dan keuntungan material.Dalam erti kata lain,kini fenomenanya ialah kelahiran anak baru sains iaitu teknologi.Dan kini Teknologi itulah yang merupakan intipati perindustrian dan sistem ekonomi.
"They dont want to listen to philosophy of science but they only want product(fast).So today, technology dictate science and philosophy."
Ujar Dr. Zainy mengakhiri sesi malam tersebut.
Fikir-fikirkan...

Saturday, June 5, 2010

Anak Muda dan Perubahan

Salam,

Menuntut perubahan dalam kehidupan terutamanya sistem adalah satu perkara yang tidak mudah.Perubahan ini memerlukan pengorbanan.Berkorban harta,jiwa,keluarga dan juga nyawa.Maka kerna itu harga sebuah perubahan adalah sungguh mahal.Sesiapa yang menyaksikan kelompongan dalam sesebuah sistem maka hendaklah mengubahnya kerana nikmat keupayaan akal dan sensitiviti yang dianugerahkan Ilahi itu cukup mahal dan disertakan dengan tanggungjawab.Itu yang pertama.Namun persoalan kedua lebih berat,sanggupkah kita bertanggungjawab menjadi salah satu agen perubahan sedangkan kita tahu risiko-risko perjuangan yang bakal dihadapi?Risiko itu terlalu berat.

Untuk membebaskan BaitulMaqdis para ulama' zaman dahulu telah bersatu padu membina kekuatan umat selama beratus tahun.Kerana itu pembebasan BaitulMaqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi bukan hanya dikreditkan kepada beliau sahaja,tetapi kepada seluruh generasi yang sezaman dengan beliau dan juga generasi-generasi yang telah berusaha dari awal untuk membina iman,pemikiran,sahsiah serta semangat perjuangan generasi Salahuddin al-Ayyubi.Membina Generasi Salahuddin al-Ayyubi mengambil masa dan darah yang bukan sedkit.Yang pasti keringat serta pemikiran para ulama kita telah dicurah semaksimum mungkin untuk merealisasikan harapan umat Islam untuk membebaskan BaitulMaqdis.

Peranan Imam al-Ghazali terutamanya melalui karya beliau Ihya Ulumuddin telah menunjukkan kepada kita bahawa sesebuah perjuangan yang panjang memerlukan segala nilai-nilai dalam al-Quran.Salah satunya nilai intelek yang diberi oleh Hujjatul Islam tersebut.Ramai yang tidak nampak peranan Imam al-Ghazali dalam pembebasan BaitulMaqdis.Tetapi sebenarnya jiwa-jiwa kesatria generasi Salah al-Din itu berputik dengan peranan generasi ulama' tersebut yang seterusnya dirintis oleh beberapa ulama kemudian sehingga bangkitlah jiwa-jiwa perwira umat Islam yang gagah,kental, dan tidak kenal erti takut terhadap sebuah sistem yang besar pada waktu itu.

Maka mengambil pengajaran dari pembinaan generasi Salahuddin ini,kita selaku generasi muda Umat Islam perlu kembali berfikir dan menggerakkan tenaga dan intelek kita semaksimum mungkin terutama sebelum kita melangkah keluar dari institusi pendidikan formal.Kerana hakikat dunia luar itu lebih perit dan memerlukan jiwa yang tabah.Jika hari ini kita menangisi kematian rakyat Palestin dan umat Islam serta mengutuk kekejaman rejim Israel,maka sepatutnya kita juga mampu berfikir dan menerima idea bahwa kita sepatutnya melakukan perubahan.Perubahan kepada siapa atau apa?Kepada apa lagi yang anda ingin nafikan,perubahan kepada dunialah yang harus kita lakukan..Kerana selagi berdirinya kuasa-kuasa kapitalisme dan tercengkamnya sistem ini di seluruh dunia,maka kita umat Islam hanya menjadi buih-buih di lautan.Jumlahnya ramai tetapi kekuatannya tiada.Sayang sekali.

Hidup kita hanya sekali,maka anak muda ayuh keluar dari kepompong tertawan kita selama ini dek pandangan masyarakat dan sistem pendidikan kapitalis yang menjajah pemikiran kita sehingga kita fikir kita tidak mampu hidup tanpanya.Sehingga kita fikir makna kejayaan itu seperti mana diajar di sekolah dan universiti.Sehingga kita fikir puncak kejayaan kita adalah dengan banyaknya duit,tingginya kuasa,kuatnya pengaruh..maka malanglah kita,malanglah anak cucu kita dan juga generasi umat Islam selepas kita kerana kekuatan yang ada pada kita selaku anak muda ini tidak digunakan sepenuhnya untuk mengubah sistem yang korup dan zalim ini.

Apa yang kita mampu buat terhadap Israel sekarang???Siapa mampu memberi jawapan?Adakah negara-negara Islam yang sanggup menghantar tentera jihad?Adakah yang mampu melakukan sekatan ekonomi terhadap Israel?Mampukah?Apa yang kita termampu?Hanya dengan berdemo dan memberi tekanan melalui memorandum terhadap boneka Israel,Amerika Syarikat!Dan kita lihat sekarang,apakah negara polis dunia ini buat?Sanggupkah mereka memelihara kita?

Maka,sanggupkah anda anak muda menggalas tanggungjawab ini?Bersediakah anda untuk menerima tekanan yang akan diberi oleh sistem?JIka anda tidak,maka jangan dipijak mereka yang berkehendak,kerana semata-mata mereka yang berkehendak itu menentang sistem ini..Kerana tanpa jiwa-jiwa yang berani segalanya tidak mungkin,inilah kekuatan anak muda.Sanggup berdepan risiko besar sistem yang akan merendahkan status sosial pada pandangan masyarakat demi pembebasan terhadap dunia.Fikirkanlah wahai anak muda...bebaskanlah dirimu dari dibelenggu kejahilan sistem yang menipu,maka berfikirlah...fikir...

Monday, March 29, 2010

Drama, Pendidikan dan Cinta

Salam,

Maaf kerana lama membiarkan blog ini terusang...kesibukan harian menghalang..kali ini aku paparkan artikel yang aku petik dari blog orang lain sebagai wakil untuk mengekspresi apa yang sedang aku fikirkan sekarang..kejadian petik memetik ini terpaksa dilakukan kerana masa masih tidak mengizinkan aku untuk menggarap keghairahan tentang isu pendidikan yang sentiasa menjadi nadi bagi blog aku(itulah tujuan ia ditubuhkan).Di sini secara ringkas aku hanya ingin mengutarakan persoalan tentang drama dan isu pendidikan...dan juga boleh kita fikirkan juga tentang masalah kelesuan mesej berbentuk membina dan intelek daripada drama-drama yang bersepah di atas bumi malaysia dan juga sebahagian antero dunia media..kita telah hilang perjuangan..hiburan sekarang tidak lagi mendidik..dan aku gersang dalam mencari kembali drama dan filem berkualiti sebegitu..apakah ini menandakan fenomena sifat manusia seantero dunia telah beralih arah kerana terlalu ghairah dengan nilai cinta yang dirosakkan oleh Amerika melalui kempen perang anti terrorist nya itu?setiap karya (samaada drama atau filem) sudah cintan berlebihan,maafkan aku,bukan bermaksud menentang tema itu, tetapi jika objektifnya cinta itu tidak ditafsir dan digarap dengan kefahaman dan niat yang betul, maka aku rasa ianya merosakkan dan itulah salah satu unsur hedonisme tegar..semoga dapat sama-sama kita fikir tentang semua nilai ini..kembalikan cinta dan pendidikan itu ke arah yang lebih jelas dan haq..selamat berfikir...






Dipetik daripada : http://psittacula.wordpress.com/page/4/?s=+melayu


1990-an, merupakan tahun drama Jepun di Malaysia. Seingat saya pada masa tu, setiap hari dari pukul 6 petang hingga 7 malam, televisyen menayangkan drama-drama Jepun yang akhirnya menjadi kegilaan penonton di Malaysia. Dari satu drama ke satu drama, ianya menjadi satu penantian yang tidak berkesudahan apabila satu demi satu drama Jepun yang di bawa masuk ke Malaysia mendapat sambutan yang baik.

Seingat saya juga drama-drama yang ditayangkan mempunyai tema yang berbeza dan menampilkan pelakon-pelakon yang baik mutu lakonannya. Bermula dari drama Beutiful Life, Good Luck, Overtime, LongVacation, Perfect Love, Beach Boy, GTO dan banyak lagi. Pada waktu itu pelakon-pelakon yang digilai adalah seperti Takashi Sorimachi , Esumi Makiko, Takuya Kimura, Nanako Matsushima, Tokiwa Takako dan ramai lagi.

Saya akui, suatu waktu dahulu saya amat meminati drama Jepun sehingga sanggup melapangkan masa demi menonton cerita-cerita yang dipaparkan. Memang menarik, malah lebih menarik daripada menonton drama telenovela dari Filifina yang streotype atau telenovela dari Mexico yang menonjolkan tema seks dan skandal. Dan kini sinetron dari Indonesia mula menghiasi televisyen kita. Dan semakin lama juga paparan yang di beri telah memasuki fasa streotype.

Semalam, semasa mengemas koleksi VCD, DVD di rumah, saya menemui semula VCD drama Jepun yang menjadi koleksi terbaik saya. Tidak banyak. Beutiful Life, Overtime, GTO, Office Girl, Good Luck, Beach Boy, Long Vacation. Ya, cuma itu. Yang lain-lain dipinjam oleh kawan-kawan tanpa memulangkan semula kepada saya.

Dalam banyak-banyak drama tersebut, saya menonton cerita Overtime banyak kali. Lebih daripada berpuluh kali. Mungkin juga mencecah lebih daripada 100 kali.

Bukan aspek romantik yang membuatkan saya suka pada cerita tersebut. Tetapi nilai persahabatan dan percintaan yang lain daripada yang lain. Tapi bila lihat semua, kebanyakan drama Jepun memang menyisip tema persahabatan dan percintaan dalam senyap, dengan paparan dan garapan yang berbeza.

Pertama kali menonton drama Overtime, saya tidak puas hati kerana Natsuki (Esumi) memilih Cikgu Kuna (Shiina Kippei) sebagai jodohnya. Kenapa dia tak memilih Soichiro (Takashi Sorimachi). Dan persoalan ‘dewasa’ akhirnya memberi jawapan kepada saya apabila saya kerap menonton drama ini sehingga saya faham konsep membuat pilihan dalam hidup.

Bukan cerita ini sahaja yang menggamit hati saya untuk membeli set VCD nya, malahan lagunya pun agak sedap untuk didengar.

Melihat semula drama masa kini, tidak kira dari negara mana pun, konsep nilai kemanusiaan dan budaya semakin tipis. Apatah lagi drama Melayu, nilai budaya dan pegangan agama juga ada yang dipaparkan sambil lewa. Yang menjadi keutamaan adalah nilai komersial.

Saya semakin obses untuk mengumpul drama-drama lama yang berkualiti.

* Lirik lagu-lagu lain dalam drama Overtime

Saturday, February 27, 2010

ISLAMIZATION OF KNOWLEDGE....LETS MY FRIENDS TOGETHER WE REALIZE IT...



Kepentingan untuk memahami ilmu-ilmu sebenar yang diajar dalam subjek sains dan teknologi masa kini mampu membuang elemen-elemen sekular dan kehilangan jiwa serta nilai di dalam masyarakat.Juga pemahaman yang nyata dan sebenar mampu membuatkan kita terfikir kembali, adakah kita betul2 yakin ilmu sains yang pernah diajar kita dahulu benar-benar betul?Bagaimanakah kita ingin membuktikannya,jom kita fikir bersama...dengan memahami perkara ini, maka kita pasti akan jelas, kenapa semakin meningkat gejala sosial di kalangan remaja kini dan kecelaruan nilai dalam generasi dewasa dan masyarakat kita kini, nanti kita akan sedar siapa sebenarnya menguasai kita dan siapa diri kita selama ini...barulah mampu kita menjawab kenapa semakin ramai yang masuk universiti dan sekolah tetapi semakin ramai juga yang tidak menjadi manusia dan keliru tentang meletakkan nilai kemanusiaan dan agama..maka fikirkanlah....Selamat menyerapi semangat maulidul rasul..ayuh kita hayati dan serapi nilai ajaran baginda ke dalam ilmu-ilmu dan kehidupan kita masa kini...Selamat menyerapi semangat Maulidul Rasul..Ya Muhammad S.A.W, engkaulah Rasul junjungan mulia,selawat dan salam ke atas Baginda, semoga kita Dirahmati Allah..Barakallahufik