Saturday, November 21, 2009

Menelusuri Senario Karya-karya Tempatan dan Implikasinya Terhadap Masyarakat

Teknik Berfalsafah Dalam Karya

Tulisan daripada Puan Ainon Mohd (http://ainonmohd.blogspot.com/) :

Ada pengarang Malaysia berasa tersinggung lalu marah-marah apabila seorang penulis Indonesia mengatakan karya Malaysia tidak mengandung falsafah.

Isu apakah komen penulis Indonesia itu benar bagi SEMUA karya penulis Malaysia, ataupun ia benar bagi mana-mana karya yang pernah dibaca oleh penulis Indonesia itu sahaja, isu itu bukan persoalan penting.

Yang penting adalah menerima kenyataan bahawa karya sastera mesti mencipta kesan ke atas daya fikir pembacanya bahawa karya itu mengandung falsafah dan dia memahami mesej falsafah si pengarang.

Kesan falsafah itu mesti terang dan jelas, sambil membaca, pembaca sudah nampak apa falsafah yang terkandung dalam karya itu.

Bukan mesej falsafah yang perlu dicari-cari, digali-gali, diteka-teka apa barangkali falsafah yang cuba disampaikan oleh si pengarang. Bukan kesan samar-samar, ataupun yang cuma diada-adakan oleh pengkritik karya itu.

Bukan juga falsafah yang memerlukan IQ tinggi disertai oleh penguasaan ilmu-ilmu bantu yang tinggi-tinggi bagi mengesan dan memahami mesej falsafah itu, bukan yang perlu difikir-fikirkan dengan mendalam, perlu direnungkan, dimenungkan.

Bukan, bukan falsafah yang seperti itu. Jika begini persepsi kita, karya seperti itu tidak banyak gunanya bagi tujuan memandaikan pembaca, sedangkan adalah fungsi asas sastera memberi pencerahan, yakni membantu pembaca menjadi lebih bijaksana selesai membacanya.

Bukan juga mesej falsafah yang hanya dapat dimasukkan oleh pengarang selepas banyak membaca buku-buku falsafah Barat mahupun kitab-kitab tulisan ulamak-ulamak agung. Jika begini persepsi kita, maka tidak banyak penulis yang berani memasukkan unsur falsafah ke dalam karyanya.

Memang ada karya sastera yang bertaraf karya falsafah, yang ditulis oleh pengarang yang menguasai ilmu-ilmu falsafah, dan hanya dapat difahami mesej falsafahnya oleh pembaca yang memiliki banyak ilmu-ilmu bantu yang tinggi dan kompleks. Barangkali kategori inilah yang dimaksudkan oleh si penulis Indonesia itu.

Dari sudut pandang Islam, setiap penulis dituntut memasukkan mesej falsafah ajaran Islam ke dalam karyanya, tanpa kekecualian apakah karya itu cerita kanak-kanak, novel remaja, novel cinta ataupun fiksyen sains, dan tanpa kekecualian apakah individu yang membaca karyanya itu kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.

Justeru Islam tidak membataskan tugas berfalsafah itu kepada sasterawan yang menguasai ilmu-ilmu falsafah Islam, Barat dan Timur sahaja, ataupun kepada mereka yang menulis novel-novel bertaraf ’sastera’ sahaja. Tuntutan Islam ini tidak membedakan penulis kepada kategori sasterawan dan bukan sasterawan, suatu pembedaan ciptaan pakar-pakar teori sastera aliran konvensional.

Justeru, dari sudut pandang Islam, penulis-penulis novel remaja, novel popular, novel cinta, novel sejarah, malah novel thriller sekalipun, dituntut memasukkan mesej falsafah dalam karyanya.

Apabila Islam menuntut semua penulis berfalsafah, maka timbul 2 isu:

(1) Isu pertama, apakah jenis-jenis falsafah yang mudah dimasukkan ke dalam karya, sehingga ia membolehkan penulis yang belum membaca buku-buku falsafah pun dapat memasukkan unsur falsafah dalam karyanya.

(2) Isu kedua adalah, apakah ada teknik-teknik yang mudah bagi memasukkan unsur falsafah ke dalam karya, sehingga penulis-penulis yang baru belajar menulis pun sudah dapat mempelajari dan menggunakan teknik-teknik itu.

………………….

Pesan bagi mentee-mentee SifuPTS:

Memasukkan kandungan falsafah dalam novel jibunsyi adalah mudah. Ikut teknik yang digunakan dalam surah Yusuf. Teknik itu adalah dengan menggunakan dialog yang mengandung nilai. Maksudnya, mesej falsafah itu disampaikan dalam dialog watak-watak, bukan dalam naratif.

Teknik dialog mengandung nilai falsafah inilah yang digunakan dalam sastera komik Amerika. Inilah yang membolehkan, jangan dikatakan karya sastera, malah strip komik Amerika sekalipun, mengandung unsur falsafah. Justeru, si kucing Garfield itu pun seringkali mengucapkan dialog-dialog yang mengandung mesej falsafah!

(Teknik falsafah dalam dialog inilah yang membolehkan Garfiled diminati oleh semua kategori manusia, di semua pelosok dunia - dan tidak terbatas pada peminat kucing sahaja.)

Berdasarkan surah Yusuf, watak utama mestilah seorang yang mengucapkan dialog yang mengandung falsafah ajaran Islam. Prinsip inilah yang menyebabkan dalam teori sastera Islami (aliran surah Yusuf), watak utama tidak boleh merupakan individu yang tidak baik, yang tidak insaf sampai akhir cerita, sebab jika begitu, kita memberikan kemenangan moral kepada kemungkaran.

Ada dua jenis dialog falsafah dalam surah Yusuf:

(1) Dialog yang dengan jelas mengandungi mesej falsafah Islam.

Sebagai contoh, ayat 90: “Barang siapa yang hatinya sabar, Allah tidak menyia-nyiakan perbuatan baiknya.”

(2) Dialog yang tidak secara jelas menyatakan ajaran Islam.

Sebagai contoh ayat 35: Dalam episod sewaktu isteri al-Aziz mengancam Nabi Yusuf, sekiranya dia tetap enggan membalas cintanya, maka dia akan pastikan supaya Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara.

Dijawab oleh Nabi Yusuf dengan berkata lebih kurang beginilah maksudnya, “…saya lebih cintakan penjara daripada cinta yang puan tawarkan kepada saya…”

Sifu sedang menyambung kajian ke atas surah Yusuf….

Komentar :

Penulisan daripada Puan Ainon Mohd ini memberikan kita satu satu sudut pandang yang sepatutnya kita melihat dalam menilai kelesuan tahap pembacaan di kalangan rakyat Malaysia dan juga tahap pembentukan mentaliti masyarakat Malaysia melalui buku-buku hasil tulisan karyawan tempatan.Antara mesej utama yang dapat kita lihat daripada penulisan Puan Ainon di atas dapat kita lakukan sedikit sebanyak pembedahan terhadap kelesuan budaya intelek di kalangan rakyat Malaysia sehingga industri hiburan kita menjadi terlalu hedonisme dan terperangkap dalam strategi produser Barat dalam menciplak secara mutlak sesetengah idea mereka.

Kita dapat melihat ramai rakyat Malaysia begitu menyukai filem-filem yang 'tidak membantu' dan lesu 'pendidikan dan keintelektualan' secara zahir.Contohnya filem-filem mistik yang begitu mendapat sambutan luar biasa.Karyawan tempatan pula, demi memastikan produk mereka dapat mencapai keuntungan yang tinggi maka genre inilah yang sentiasa menjadi pilihan mereka sehingga masyarakat kita lesu dan baku.Yang bersifat hedonisme melampau seperti sesetengah cerita realiti televisyen yang berkembang ibarat cendawan selepas hujan mula membanjiri pelbagai saluran.Semakin lama semakin terbuka.Modenlah katakan.

Selain itu karyawan tempatan kita juga tidak terlepas daripada lingkaran ketandusan ini apabila untuk memaparkan sesuatu realiti kehidupan mereka mengambil cerita-cerita yang ibarat menggalakkan para penonton untuk meniru aksi yang tidak sihat dalam filem atau cerita tersebut.Dihujahkan oleh mereka hanya untuk memaparkan realiti tetapi sayang, di sinilah kita dapat melihat bahawa produser-produser kita ketandusan idea dan kreativiti dalam menyampaikan kritikan sosial sehingga seolah-olah karya mereka pula yang menggalakkan hal tersebut walaupun mereka berpendapat tidak sebegitu.Kenapa jadi begini? Jawapannya senang, seperti yang Puan Ainon Mohd tulis di dalam penulisan di atas, karyawan-karyawan negara kita sebenarnya kurang ilmu falsafah dan tidak memahami realiti falsafah dalam pembentukan 'events' besar dunia zaman pasca-moden.

Sebab itu kita mudah terperangkap dalam karya Barat tetapi masih tidak dapat menandingi karya mereka hatta bagi sebuah cerita di dalam televisyen sekalipun.Kerana apa? Kerana mereka para pengkarya Barat sentiasa mengolah cerita mereka dengan mengisinya melalui mesej falsafah yang boleh menyatuni semua pihak sama ada orang awam atau para pemikir sehingga filem atau cerita mereka mampu menjentik keintelektualan kita.Lihat sahajalah pada kekuatan skrip yang dituturkan oleh para pelakon mereka.Bahasanya hebat dan intelek tetapi mampu difahami dan diterima sebagai hiburan dan isinya pula begitu mendalam.Kita dapat sedari mereka perkenalkan falsafah mereka secara senyap.Mereka memperkenalkan bahasa-bahasa sains dan intelek dalam skrip.Contohnya, selalu kita dapati mereka menggunakan perkataan 'adrenalin' apabila melalui babak cemas.Kenapa mereka begitu kreatif sekali dan sanggup mangambil risiko untuk menyampaikan perkataan yang mungkin tidak difahami oleh sesetengah orang terutama orang yang tidak tahu sains biologi?Banyak lagi perkataan-perkataan lain yang terdapat dalam sains dan juga disiplin ilmu falsafah yang digunakan mereka, kajilah sendiri.

Selain itu, emosinya kurang.Tidak ada kita melihat mereka menangis keterlaluan,kerana apa?Sebab mereka melambangkan mereka bangsa tamadun yang cekal,tabah dan intelek dan pelbagai lagi sifat-sifat sebagai golongan maju dan bertamadun serta penuh dengan nilai mengikut pandangan mereka.Sebab apa mereka sanggup lakukan demikian? Kerana mereka memahami apa itu fungsi karya dalam menyampaikan mesej dan mendidik masyarakat.Betapa berbeza ilmu kita dan mereka (namun ada beberapa kerat sahaja karyawan di negara kita yang memahami perkara ini dan mencubanya tetapi bilangannya terlalu sedikit).Bandingkan pula dengan filem-filem kita, tengok pada skripnya dan juga jalan cerita serta ideanya.Sebab itulah kita selalu dengar ada orang pernah kata aku bosan tengok drama Melayu, filem Melayu tidak berbaloi untuk dilihat di pawagam, kerana apa? Kerana tidak pernah drama kita ini mengujakan fikiran kita dalam berhibur.Bukan untuk menyuruh kita mengagungkan dan menciplak idea Barat,t etapi sekadar untuk mengingatkan kita semua untuk kembali kepada budaya ilmu mengikut acuan Islam yang semestinya berbeza daripada nilai songsang Barat dan mempunyai kekuatan identiti diri yang lebih kuat dan bertamadun tinggi.Kita betul-betul terperangkap sebaliknya mereka yang tidak faham Al-Quran pula yang mengkaji Al-Quran lebih daripada kita kaji.Fikir-fikirkanlah........



4 comments:

faiz ck said...

afif....kiriman yang menarik dan sudut pandang yang tepat.sedikit panjang..huhu tp saya menikmatinya,,,tq!~tulisan saya tidak mepunyai falsafah..cuma lontaran rasa ~lolz

Pemikirzaman said...

hehe tq for ur comment,tp penulisan n bahasa saya agak teruk,tu jadi panjang,ada yang tak teratur sikit,sebab lama tak menulis,aduh,nak kena perbaiki banyak lagi,harap2 improve,thanx faiz

Al Quds Travel said...

Al Quds Travel Welcome You :-

"AL QUDS TRAVEL FAIR 09"
Date : 10,11,12 December 2009
Time : 10.30 am - 10.00 pm
Venue : Ruang Legar KB Mall K.Bharu
Organizer : Al Quds Travel Sdn Bhd
Official Radio : THR Gegar FM
Tel No : 609-747 9999

Diskaun RM999.00 untuk Pakej Umrah

Syahmeen.... said...

Salam buat semua,sy ingin bertanya,bolehkah saya memaparkan skrip saya?