Friday, January 30, 2009

'Kilang' Intelek Negara

Salam,

Setelah sekian lama aku meninggalkan perbincangan tentang dunia intelektualisme dan sistem pendidikan, kini aku kembali setelah merasa keperluan untuk aku merentangkan sedikit 'buah' yang aku dapat selama pemerhatian aku semenjak berhenti menulis tentang pendidikan.

Pertamanya, isu yang secara jelas sering timbul, walaupun kadang-kadang ia tenggelam, namun hakikatnya,kita tidak dapat lari daripada menghadapi situasi ini selagi sistem pendidikan yang ada sekarang masih tidak direvolusikan atau dievolusikan menjadi lebih baik dan kembali ke arah kebenaran jalan keintelektualan. Isu yang aku maksudkan adalah 'kekakuan sistem pendidikan di negara kita' sehingga melahirkan begitu ramai generasi robot yang dikeluarkan secara besar-besaran daripada kilang yang bernama universiti.

Kesannya juga tidak dapat dinafikan memberi impak yang negatif terhadap robot-robot baru yang sedang dalam pembikinan di institusi ilmu tersebut. Namun aku masih bersyukur kerana masih ada juga di antara pelajar-pelajar ini yang sedar tentang hakikat perkara ini. Atas hakikat inilah aku kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan ini bagi mengembalikan sistem pendidikan di negara kita kepada sebuah kehidupan yang membina intelek, membudayakan pencarian ilmu dari segi semangatnya, penghargaannya serta konsep sepanjang hayatnya dan juga menjadikan ia sebagai satu ruang untuk mencari kebenaran tanpa hijab untuk menjaga kepentingan pihak tertentu sama ada pihak 'academician' ataupun 'politician'.

Yang jelas, berdasarkan pemerhatian aku,betapa masih ramai di kalangan pelajar masa kini yang sebenarnya tidak mempunyai keupayaan untuk berdikari dalam mencari ilmu serta menentukan keputusan kehidupan berdasarkan asas ilmu serta kemahiran berfikir yang matang.Ya, ramai yang bijak dalam akademik, tapi tak ramai yang bijak dalam hidup.Kebanyakan yang bijak akademik di dalam sistem pendidikan ini sebenarnya lebih banyak kaku berbanding rakan-rakan mereka yang sebaya dengan mereka di negara lain.Disebabkan faktor inilah membuatkan mahasiswa kita pada hari ini hilang deria rasanya, hilang ketajaman akal fikirannya, hilang kematangan inteleknya dan juga mungkin hilang peribadinya.Semuanya kerana kesilapan besar dalam bidang ilmu yang telah berlaku di dalam penstrukturan sistem pendidikan negara kita.

Berapa ramai di antara kita ini yang menyedari betapa hidup ini bukannya satu 'tabir' sahaja?Berapa ramai di antara kita ini yang menyedari terdapatnya lapisan tabir itu, tetapi tidak tahu apakah jenis tabir di belakangnya itu?Kesannya...kita terperangkap dalam ideologi hidup ciptaan mereka yang menyedari hakikat ini tetapi tidak beriman sehinggakan menyalahgunakan pengetahuan mereka itu untuk memesongkan kita agar mudahlah mereka menang dalam agenda mereka.

Usah ditunding jari kepada pelajar-pelajar yang menjadi mangsa ini,ini bukan salah mereka.Tetapi muhasabahlah kembali sistem yang kita cedok dan ciptakan sendiri itu berteraskan akal sahaja tanpa merujuk kepada wahyu.Ibarat nasi sepinggan rasanya hanyalah kuah sesudu.Mengambil yang mana kita rasa hendak sahaja tanpa memikirkan betapa perlunya menggunakan nikmat yang diberikan kepada kita oleh Maha Pencipta.Akarnya, pemimpin dan mereka yang berkuasa dalam hal ini yang perlu bertanggugjawab.

Jika esok nanti lahir generasi yang hanya tahu bergerak berdasarkan program yang telah dicipta kita tanpa mempedulikan keperluan untuk mengubah cara pemikiran secara lebih dinamik dan luas, maka jangan dikesali lagi.Kerana pada waktu itu kita sudah ketinggalan sebanyak satu generasi secara minimumnya berbanding bangsa-bangsa maju lain yang menggalakkan budaya ilmu dan berfikir dan bukannya pemikiran 'rigid' yang kaku serta hanya berorientasikan peperiksaan, cgpa, sijil, kerjaya dan juga skema buku-buku lama tanpa berusaha menggerakkan tenaga dengan penuh kesedaran yang tinggi untuk menghidupkan budaya ilmu dan berfikir secara luas, matang, penuh intelek dan tinggi 'deria' rasa hakikat kehidupannya.

Maka dengan ini, saksikanlah peristiwa yang akan berlaku apabila keputusan SPM diumumkan nanti.Betapa kasihannya melihat berapa ramai yang telah dikongkong kehidupan ilmiah sebenar mereka semata-mata untuk berjaya di dalam sistem pengetahuan dan peperiksaan yang kaku.Masalah ini bermula dari sistem pendidikan rendah lagi.Selagi kita sombong dengan menafikannya, maka selagi itu kita akan tetap ketinggalan dan mungkin kesedaran itu hanya timbul 20 tahun lagi apabila bibit kehancurannya mulai terbentang.Semoga para pentadbir ini cepat sedar dan terbukalah dalam menerima cadangan serta kritikan untuk kita sama-sama memperbaiki kesilapan selama ini dan kembali membina generasi yang begitu mantap tahap inteleknya, ilmu, dan peribadi.

Kembalikan sekolah sebagai tempat yang cukup seronok untuk pelajar mengasah bakatnya, membina pemikirannya secara progresif, menambah sebanyak mungkin ilmu dengan keberkatan dan membentuk peribadi serta asas pemikiran yang mulia serta jelas.Bebaskanlah universiti ini daripada cengkaman intelektualisme yang kaku, kematian jiwa-jiwa kemanusiaan, keterbatasan belajar mengkaji kehidupan serta pembinaan produk yang hanya bersedia untuk pasaran tanpa menjadi seorang yang bernama MANUSIA.Fikirkanlah....

No comments: