Sunday, October 31, 2010

Kembalikan Makna Sebenar Pendidikan

Keputusan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia baru-baru ini yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mengekalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah satu langkah yang tepat dan merupakan satu perubahan yang paling signifikan dalam wacana pendidikan negara.

Perubahan yang berani dan bersejarah ini sebenarnya merupakan satu tindakan yang begitu dinantikan oleh ramai para pemerhati dunia pendidikan di Malaysia oleh kerana ketidakberkesanan dan kelompongan yang ada dalam sistem sebelum ini sehingga mewujudkan satu generasi yang dikatakan tidak menepati aspirasi dan matlamat asal pendidikan secara umum di Malaysia.

Sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan adalah salah satu sebab yang paling utama mengapa cadangan pemansuhan ini diutarakan.Hal ini kerana fenomena yang melanda dalam sistem persekolahan di Malaysia menunjukkan unjuran yang tidak sihat disebabkan penekanan yang berlebihan terhadap sistem yang berorientasikan pentaksiran yang melampau.

Antara kesan yang dapat dilihat daripada penumpuan yang berlebihan terhadap ukuran kejayaan berorientasikan gred peperiksaan adalah fenomena kelahiran generasi pelajar yang digelar sebagai ‘burung kakak tua’.Kewujudan generasi ini membawa ciri-ciri pelajar yang pasif serta tidak bersifat kritikal sebaliknya hanya pandai untuk menggunakan ilmu yang hanya diperoleh di dalam ruang bilik darjah mereka sahaja tanpa mampu untuk menganalisis, mentaksir serta mengaplikasikan ilmu yang diperolehi itu untuk kegunaan di luar kelas yang secara nyatanya adalah kemahiran hidup yang paling penting yang menjadi matlamat paling utama sistem pendidikan negara.

Pandangan daripada dua orang cendekiawan Prof. A Murad Merican pensyarah UTP dalam rencana tulisan beliau yang bertajuk Universiti Kita Ketandusan Idea (Utusan Malaysia, 4 Oktober 2010) dan juga Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak selaku Naib Canselor USM dalam tulisan bertajuk Pendidikan:Mencari Kebenaran (Utusan Malaysia, 12 Oktober 2010) menunjukkan kepada kita bahawa perlunya satu pembaharuan dan pembetulan dilakukan terhadap sistem pendidikan negara.

Kedua-dua tokoh ini merungkaikan masalah sebenar yang berlaku dalam sistem pendidikan zaman kini secara akarnya dan bukan secara permukaan.Hal ini penting kerana untuk kita menganalisis permasalahan sebenar yang berlaku dalam sistem pendidikan dan hasilnya yang dicerminkan oleh pelajar dan golongan yang pernah melalui sistem pendidikan ini, kita perlu melihatnya dari punca sebenar dan bukan manifestasi luaran yang berlaku kesan pembinaan dalam proses pendidikan negara.Contoh manifestasi luaran yang telah muncul akibat sistem pendidikan yang menyimpang antaranya masalah sosial di kalangan remaja, kehilangan integriti di kalangan pegawai kerajaan, keruntuhan nilai moral dalam masyarakat, ketidakstabilan institusi rumah tangga dan juga tidak terlepas kelahiran golongan pemimpin yang mencelarukan.

Industralisasi pendidikan dan komersialisasi ilmu adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya kepincangan dan kecelaruan dalam sistem pendidikan kita hari ini sehingga kata Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam artikelnya pendidikan bukannya lagi untuk mencari kebenaran sebagai matlamat terakhir.Yang menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan pada hari ini terus menimbulkan tanda tanya.Adakah pendidikan kita pada hari ini telah menjadi medan untuk memperkayakan golongan pemodal?Atau ianya dijadikan sebagai kuda tunggangan untuk mencapai kekuasaan politik empayar dunia dengan membina struktur pendidikan yang berorientasikan industri?

Tanpa kita sedari, matlamat-matlamat yang melencong sebeginilah yang telah memusnahkan semangat dan falsafah sebenar pendidikan.Menurut cendekiawan Islam yang ulung dalam zaman ini, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, pendidikan adalah penyemaian adab dalam diri seseorang.Ini dijelaskan pula oleh beliau dalam konsep pendidikan yang dimaksudkan sebagai ta’dib iaitu pendidikan bukanlah suatu proses yang akan menghasilkan pakar, melainkan proses yang akan menghasilkan individu yang baik yang akan menguasai pelbagai bidang pengajian secara sepadudan sebati yang mencerminkan pandangan hidup Islam.

Apabila kita cuba memahami garis panduan yang dikemukakan oleh tokoh pemikir Islam yang terkenal ini, maka sudah pasti dan jelas bahawa perlunya dalam proses akhir pendidikan itu memerlukan kelahiran seorang insan yang dapat dibentuk dirinya untuk mempunyai pandangan alam ataupun ‘worldview’ yang tepat.Ilmu yang benar sudah pastinya akan melahirkan hikmah dan membentuk keperibadian penuntut ilmu tersebut.Namun apa yang terjadi pada hari ini ialah kehilangan makna ilmu dan kewujudan orientasi maklumat yang disalahtanggap sebagai ilmu.Apabila proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tidak menepati falsafah dan matlamat sebenar pendidikan, maka yang berlaku seperti mana hari ini hanyalah proses penyaluran maklumat kepada pelajar.

Senario ini menggantikan dan menghilangkan kedudukan ilmu itu sendiri sehingga mengakibatkan ketidakupayaan kita untuk membina peribadi penuntut ilmu melalui sistem pendidikan.Sekaligus menghilangkan ketibaan ‘hikmah’ dalam diri penuntut ilmu.Inilah yang berlaku dalam sistem pendidikan kita hari ini bermula dari sekolah rendah sehinggalah ke universiti sekalipun.Tiada satu pun yang terlepas daripada gejala kehilangan makna atau hadir ilmu itu disebabkan penyelewengan yang telah dilakukan terhadap matlamat pendidikan tersebut sama ada melalui matlamat ekonomi ataupun politik.

Ilmu telah didagangkan, pelajar dimodalkan, dan akhirnya graduan dijual kepada pasaran.Inilah kehendak ekonomi dunia pada hari ini dan inilah juga matlamat pendidikan kita pada hari ini.Kerana itu jangan kita selalu mempersalahkan generasi remaja masa kini sahaja atas kecelaruan peribadi, kekacauan jiwa, ketempangan intelektual, ketidakupayaan berfikir kritis, kelunturan semangat kekeluargaan, pengasingan diri daripada masyarakat dan juga kerosakan moral yang ditunjukkan mereka kerana kelahiran mereka sehingga peringkat ini bukannya berlaku secara semulajadi tanpa faktor penyumbang yang dibentuk oleh sistem di sekeliling mereka.

Mungkin inilah yang dikatakan mereka sebagai mengekspresi diri terhadap kecelaruan, kehilangan makna dan kekeliruan terhadap sistem yang wujud di persekitaran.Mereka lakukan vandalisme, merempit, memberontak, hedonisme dan pelbagai lagi ekspresi dilakukan mereka sebagai lambang penentangan terhadap kegagalan sistem pendidikan hari ini melahirkan makna diri dalam jiwa pemuda-pemudi ini.Kegagalan mewujudkan makna ilmu ini membawa kepada kekosongan jiwa dan kecelaruan identiti sehingga ke tahap yang paling parah adalah kekeliruan nilai.

Semua ini berlaku semenjak dari alam persekolahan mereka lagi kerana di situlah persekitaran yang paling lama mereka didedahkan.Tanpa kita sedar, sekolah mengajar mereka bagaimana ingin menuntut ilmu untuk menjadi kaya.Sekolah jugalah yang mengajar mereka bagaimana untuk membina strata dalam masyarakat dengan mendapatkan kejayaan akademik yang diukur melalui jumlah ‘A’.Sekolah jugalah yang mengajar mereka bagaimana kita perlu melabel dan mengasingkan golongan yang gagal dalam sistem industri ini sebagai golongan yang tidak mempunyai masa depan atau merujuk kepada tulisan Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sebagai tidak menepati ‘kualiti’ pasaran.Sekolah jugalah yang mendidik pelajar untuk bersikap perikemanusiaan hanya kepada prioriti kejayaan akademik dan merendahkan prioriti keluarga serta masyarakat.

Sehinggalah semua ini mengakibatkan pertentangan nilai dan logik akal bagi para pelajar yang masih lagi bersih daripada dosa dan juga mempunyai pertimbangan akal yang jujur dan ikhlas.Secara semula jadinya nilai yang baik tidak akan menjadi baik lagi dalam alam persekolahan mereka kerana yang dikatakan baik itu hanyalah kepada yang memenuhi kriteria pasaran semasa.Memilih untuk menjadi seorang pendidik agama, pejuang bahasa, pelajar sains kemanusiaan, penggiat sastera dan pejuang masyarakat tidak lagi dikatakan baik dan bijak dalam sistem pendidikan komersial hari ini.Yang baik dan berjaya itu adalah kepada memilih untuk menjadi doktor, jurutera, arkitek, ahli sains, ahli perniagaan dan empunya harta dan duit yang banyak.Hidup selesa, rumah mewah, pangkat tinggi, kuasa besar dan pengaruh yang kuat itulah yang dicirikan sebagai ‘kualiti’ untuk berjaya dalam sistem pendidikan.

Pandangan masyarakat diubah oleh industri untuk menerima ciri-ciri kejayaan dalam pendidikan ini sehingga begitu ramai ibubapa bertungkus-lumus menghantar anak mereka ke pusat tuisyen siang dan malam, menghalang aktiviti luar dan ko-kurikulum, mengehadkan ruang bacaan anak-anak hanya kepada buku teks di sekolah dan menyasarkan sekeping sijil yang tertera PNGK 4.0 atau 5,8 dan 10 A sebagai matlamat kecemerlangan dalam pelajaran.Apabila ini yang berlaku dan ianya diterima dalam masyarakat sebagai nilai ukuran kejayaan dalam sistem pendidikan maka berlakulah fenomena tragis yang melanda seluruh negara kita buat beberapa tahun lamanya.Kita hilang makna pendidikan dan kita gagal melahirkan masyarakat yang ‘budiman’.Dimanakah nilai pendidikan kita hari ini?Anak-anak disogok dengan nilai kejayaan berbentuk material dan masyarakat berlumba-lumba mengejar ‘kejayaan’ mereka yang tiada penghujungnya.

Maka tidak mustahil melalui senario ini anak-anak kita sudah tidak lagi mampu memahami apa itu tujuan hidup ini.Lalu lahirlah produk-produk yang tidak dapat menghargai nilai integriti, nilai moral, nilai keluarga, nilai masyarakat dan nilai sebuah kehidupan sehingga mereka sanggup menjerumuskan diri mereka ke lembah hidup yang tidak bertujuan dek kerana percanggahan dan hipokritnya sistem pendidikan yang ada pada hari ini dalam mendidik mereka.Maka hilanglah rasa hormat itu lalu diekspresikanlah oleh mereka itu ke dalam semua gejala-gejala negatif yang wujud pada hari ini.Kepincangan moral yang berlaku pada hari ini sebenarnya lambang kegagalan kita dalam memberi definisi sebenar pendidikan kepada generasi anak cucu kita ini.

Justeru itu, bersama-sama gagasan Timbalan Perdana Menteri, maka adalah amat elok untuk kita melakukan revolusi secara intensif dalam sistem pendidikan negara agar dapat kita sama-sama memperbetulkan kembali kelompongan dan kepincangan yang telah mewarnai sistem pendidikan dan pandangan alam generasi kita pada hari ini.Pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan tidak lebih daripada menjadi tempat kawalan mutu sesebuah kilang yang menentukan ciri-ciri produk yang dikehendaki untuk dijual ke dalam pasaran dan bukannya bertindak untuk memperbetulkan pasaran.Kerana itu wujudnya fenomena graduan perlu memasarkan diri kepada industri dan bukan industri mencari mahasiswa untuk dipandunya.

Sekolah dan universiti hari ini menjadi tidak lebih daripada sebuah kilang yang menghasilkan robot-robot untuk berkhidmat kepada empunya modal dalam pasaran ekonomi dunia yang bebas dan tiada sempadan.Jika kita ingin melihat anak muda hari ini dapat memimpin masyarakat dan negara ke landasan yang tepat, maka tanpa perlu berlengah lagi haruslah kita sedar dan berubah untuk melihat kembali kepada tujuan asal sebuah pendidikan.Jika kita gagal, jalan kekeliruan yang tiada penghujungnya akan menghancurkan generasi dan tanah air yang kita sayang ini.Musnah pemuda bangsa maka jatuhlah negara.Semoga usaha pembaharuan ini dapat mengembalikan erti dan makna sebuah pendidikan terutama ke dalam diri anak-anak muda kita.Renungkanlah...